Berita UtamaUncategorizedUtama

40 tahun tunggu baru dapat status warganegara

Zaharah anak kelahiran Batu Pahat, dibawa ke Riau ketika kecil

MUAR, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Penantian 40 tahun seorang warga emas untuk mendapat taraf kewarganegaraan akhirnya berakhir, apabila menerima surat kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri di Masjid Jamek Nurul Yakin, Gugusan Felda Maokil, dekat sini, hari ini.

Zaharah Dewa, 83, menerima surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan itu daripada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan bersama Muhyiddin, di sini.

Mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Zaharah berkata, dia kini boleh bernafas dengan lega kerana akhirnya penantian selama 40 tahun telah berakhir.

“Senang hati, umur saya dah 83 tahun. Sudah 40 tahun tunggu,” katanya, ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan surat permohonan kewarganegaraan, di sini.

Anak bongsu yang menemaninya, Mariani Daeng Morola berkata, ibunya yang lahir di Senggarang, Batu Pahat itu, dibawa ke kepulauan Riau, Indonesia, semasa zaman penjajahan Jepun ketika dia masih kecil.

Zaharah turut meninggalkan empat adik beradiknya yang lain, di tanah air.

“Bila ayah saya meninggal dunia, kami kembali ke sini (Malaysia). Surat beranak ibu pula terbakar, jadi ambil masa untuk buat permohonan,” katanya lagi.

Dengan adanya taraf kewarganegaraaan, bolehlah ibunya memohon bantuan daripada pihak berkaitan memandangkan dia kini tinggal seorang diri.

Selain Zaharah, turut menerima surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan adalah lapan individu lain iaitu seorang lelaki dan tujuh wanita.

Muhyiddin turut menyampaikan bantuan berbentuk barang keperluan dan duit raya kepada kira-kira 100 asnaf terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tidak berkemampuan.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close