Berita UtamaUtama

Sultan Johor tegur masjid dijadikan platform ahli politik

Ahli Parlimen DAP Labis berucap dalam masjid di Labis

JOHOR BAHRU, 11 Ramadan 1440H, Khamis – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pentadbir masjid yang menyediakan platform kepada ahli-ahli politik menjalankan aktiviti mereka di masjid.

Meskipun beberapa peringatan telah dibuat, Sultan Ibrahim bertitah, terdapat kecenderungan oleh pentadbiran masjid dan surau membenarkan ahli politik terus menjadikan masjid sebagai tempat aktiviti mereka.

“Institusi masjid di negeri Johor adalah zon bebas politik kepartian. Masjid adalah tempat bagi mereka yang mahukan ketenteraman jiwa dan suasana damai bagi mendekatkan dirinya kepada Allah tanpa adanya unsur politik yang mendukung parti-parti tertentu di dalamnya.

“Anda boleh sahaja bercakap politik dan berbeza pegangan politik dari pagi hingga malam, dari kedai kopi ke hotel, dari tepi jalan ke puncak gunung bagi meraih sokongan tapi bukan di dalam masjid yang suci itu,” titah baginda yang dimuatnaik menerusi laman rasmi Royal Johor, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah demikian berikutan aduan diterima mengenai Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong yang berucap dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, dekat Segamat, yang dilihat telah mendatangkan rasa kurang senang dan kecewa sekali gus menimbulkan bantahan umat Islam setempat dan umat Islam di negeri ini.

Sultan Ibrahim menegaskan insiden berkenaan adalah pencabulan serius terhadap kesucian masjid sekali gus menggugat kedudukan Islam sebagai agama negeri dan pelanggaran sempadan yang telah digariskan sebelum ini dan larangan itu baharu sahaja ditegaskan semula baginda melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa kesucian masjid di negeri ini sentiasa terjaga dan bagi memastikan kesucian masjid itu, saya mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan kaedah dan mekanisme bagi memastikan masjid sentiasa dilimpahi dengan keredaan dan keampunan Allah serta ketenangan, kedamaian tanpa hiruk pikuk politik selaras dengan kehendak Fasal 96(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) Tahun 2003.

“Natijahnya, saya tidak mahu episod perbalahan di kalangan umat Islam yang berlainan pegangan parti bermula daripada masjid,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda turut menegaskan bahawa semua ahli politik atau mereka yang mewakili mana-mana parti politik tidak dibenarkan berucap dan menjalankan aktiviti mereka di dalam masjid bagi mengelakkan benih-benih perpecahan masyarakat dimulakan.

“Ianya perlu dicantas sejak dari awal. Jangan terlalu fanatik meraih populariti sebagai ahli politik hinggakan tidak tahu lagi menilai adab-adab dan peraturan di masjid yang telah kita tetapkan semata-mata kerana kepentingan peribadi dan parti yang anda wakili.

“Dalam masa yang sama sudah tentunya saya mahu memastikan wujudnya keharmonian, kesefahaman dan perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri ini. Saya telah ingatkan dengan baik, saya telah sebut dalam nada tegas tetapi saya amat kecewa kerana masih ada rakyat Johor yang melanggarnya,” titah baginda. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close