Berita UtamaUtama

Peguam Negara akan rayu kes kematian amah Indonesia

Menteri Tenaga Indonesia bertemu Tommy Thomas bincang hubungan

BANGI, 11 Ramadan 1440H, Khamis – Pejabat Peguam Negara memberi jaminan kepada kerajaan Indonesia, mereka akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah membebaskan seorang wanita yang dituduh menyebabkan kematian seorang amah pada Februari tahun lalu.

April lalu media melaporkan bekas majikan pembantu rumah Adelina Lisao, Ambika MA Shan, 61 tahun, terlepas daripada hukuman mati selepas mahkamah membebaskannya daripada tuduhan bunuh susulan permintaan Timbalan Pendakwa Raya supaya dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak termasuk Tenaganita dan Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) yang menuntut Peguam Negara Tommy Thomas mengkaji semula pengguguran kes itu.

Menteri Tenaga Indonesia, Muhammad Hanif Dhakiri telah bertemu Tommy bagi membincangkan hubungan dua hala dan keselamatan ribuan pekerja negara itu di Malaysia.

“Kami akan membuka semula kes pembunuhan Adelina. Kami akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” kata Thomas dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Indonesia.

Kes penderaan terhadap Adelina pada tahun lalu mengejutkan negara apabila dia diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam dalam keadaan tidak bermaya selepas fotonya yang terbiar di luar rumah dirakam seorang jiran.

Ketika diselamatkan, Adelina didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar manakala mukanya bengkak.

Malah, mangsa juga dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing. Bagaimanapun, Adelina gagal diselamatkan apabila meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Susulan kejadian itu, tiga beranak ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close