Berita UtamaUtama

KPM cadang beri insentif kepada guru lanjutkan pelajaran

Garis inisiatif jangka sederhana, panjang bagi tambah baik tugas guru

GEORGE TOWN, 11 Ramadan 1440H, Khamis – Kementerian Pendidikan bercadang untuk memberikan insentif kepada guru-guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan itu.

“Untuk jangka masa panjang, kita sedang merangka dan berbincang dengan pihak JPA. Insya-Allah saya juga akan minta pertolongan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kementerian telah menggariskan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang bagi menambah baik tugas guru di sekolah.

Maszlee berkata, bagi inisiatif jangka sederhana yang bermula seawal Januari sehingga hujung tahun ini, kementerian telah menyenaraikan beberapa isu antaranya pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah dihentikan.

Katanya, pihak sekolah hanya perlu melaksanakan audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Fasa semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga kali sebelum ini. Sistem ‘online’ sentiasa dibuka untuk dikemaskini dan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata, bagi isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun ini pengawasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan secara dua fasa pada Oktober dan November semasa waktu persekolahan.

Bagi memenuhi keperluan penggantian guru bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM35.2 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi membolehkan sekolah menggunakan khidmat guru ganti.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang membabitkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

“Bagi inisiatif jangka panjang pula selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini, beberapa inisiatif telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan dalam bilik darjah.

“Prosedur operasi standard keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh, antara inisiatif yang akan diberikan adalah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin mengetuai bacaan ikrar. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close