Berita UtamaUtama

Inkues Adib: Peguam persoal laporan kebarangkalian pakar

Tindakan Dr Ahmad Hafizam letak gambar curb mengelirukan

SHAH ALAM, 11 Ramadan 1440H, Khamis – Seorang peguam mempersoalkan laporan kebarangkalian seorang saksi doktor pakar dalam inkues menyiasat punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, bahawa kecederaan pada dada kanan anggota bomba itu disebabkan oleh bahu jalan.

Peguam Syazlin Mansor yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tindakan Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi meletakkan gambar bahu jalan di dalam laporan itu mengelirukan mahkamah.

Syazlin: Tindakan doktor letak gambar curb (bahu jalan) dalam laporan kebarangkalian mengelirukan mahkamah. Sepatutnya tidak perlu letak kalau tidak pasti curb punca kecederaan pada dada mangsa.

Dr Ahmad Hafizam: Curb adalah salah satu objek yang tepati lima kriteria objek yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan pada mangsa iaitu keras, tumpul, kasar, lebar dan tertonjol. Curb juga yang kekal di jalan dan ada semasa lakonan semula kejadian.

Syazlin: ASP Lew Keng Joe (pegawai penyiasat kanan) dalam keterangan sebelum ini maklumkan ada kereta parking tepi jalan (semasa kejadian) tetapi doktor insist (bertegas) juga nak letak curb dalam laporan.

Dr Ahmad Hafizam: Saya tidak pilih tetapi beritahu, dalam laporan (kebarangkalian) saya tulis (curb).

Syazlin: Adakah ini bermakna ASP Lew menipu di mahkamah?

Saksi ke-24 yang dipanggil semula memberi keterangan itu tidak memberikan sebarang jawapan.

Dr Ahmad Hafizam terdahulu berkata bahu jalan adalah objek yang paling mungkin menyebabkan kecederaan pada dada kanan dan lengan atas kanan Muhammad Adib berdasarkan lima kriteria tersebut.

Beliau turut menegaskan anggota bomba itu terhumban selepas hujung daun pintu depan kiri van EMRS menghentam badan mangsa.

Menjawab soalan lain yang dikemukakan Syazlin, Dr Ahmad Hafizam menjelaskan bahawa beliau tidak membuat sebarang eksperimen secara ‘buta’ dalam menjalankan tugasnya sebagai pakar forensik.

“Namun dalam kes ini kita tidak seratus peratus yakin bahawa bahu jalan yang sebabkan kecederaan pada bahu kanan dan lengan atas kanan mangsa. Ada 1,001 kemungkinan berhubung posisi kejatuhan.

“Kalau saya buat eksperimen secara ‘buta’, ia boleh dicabar dan eksperimen itu juga membuang masa,” katanya.

Syazlin: Jadi doktor tidak boleh confirmkan (sahkan) dengan yakin apakah objek yang mengenai dada mangsa hingga sebabkan kematiannya.

Dr Ahmad Hafizam: Benar. Namun saya dengan yakin maklumkan kepada mahkamah bahawa struktur daun pintu kiri van EMRS adalah bukan objek yang sebabkan kecederaan pada dada kanan dan lengan kanan mangsa.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok pagi. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close