Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaUtama

Amerika senarai hitam Huawei

Syarikat telekomunikasi China dituduh terbabit aktiviti bertentangan dengan dasar keselamatan AS, dikenakan sekatan dagangan

WASHINGTON, 11 Ramadan 1440H, Khamis – Amerika Syarikat (AS) menyenaraihitamkan Huawei Technologies dan entitinya, kerana terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara itu, lapor agensi berita Sputnik yang memetik kenyataan akhbar Jabatan Perdagangan.

“Hari ini, Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan mengumumkan ia akan memasukkan Huawei Technologies Co Ltd dan anak syarikatnya dalam Senarai Entiti Biro,” menurut kenyataan itu, semalam.

Jabatan berkenaan mendapati Huawei terbabit dalam aktiviti yang bercanggah dengan kepentingan keselamatan AS atau dasar luar, menurut kenyataan itu.

Semalam, Presiden Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif bagi mengisytiharkan darurat kebangsaan berhubung teknologi telekomunikasi dan perkhidmatan yang mempunyai kaitan dengan musuh asing serta menghalang syarikat AS terbabit dengan sebarang transaksi dengan syarikat daripada negara musuh.

Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross dalam kenyataan akhbar itu menyatakan, keputusan menyenaraikan Huawei dan entitinya dalam senarai hitam sekatan dagangan akan menghalang teknologi AS daripada dipergunakan oleh entiti milik asing kerana mungkin boleh mengancam keselamatan atau kepentingan dasar luar AS.

Jualan atau pemindahan sebarang teknologi AS kepada syarikat atau individu yang tersenarai dalam senarai berkenaan memerlukan lesen khas yang dikeluarkan oleh BIS, dan permohonan itu boleh ditolak jika transaksi itu boleh menjejaskan keselamatan atau kepentingan dasar luar Amerika.

Huawei sebelum ini berdepan siasatan antarabangsa dengan sejumlah negara mendakwa syarikat itu mempunyai kaitan dengan China dan mungkin mengintip bagi pihak kerajaan.

Meskipun Huawei dan Kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Australia, Japan, New Zealand dan Amerika pada 2018 mengharamkan Huawei daripada menyertai kontrak kerajaan negara terbabit. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close