Berita UtamaUtama

Sindiket jual MC tumpas

Sijil palsu dijual kepada kenalan rapat dan WeChat

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1440H, Rabu – Polis berjaya menumpaskan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu menggunakan nama hospital kerajaan, berikutan penahanan empat suspek dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, sindiket yang mula aktif sejak setahun lalu itu dipercayai menjual MC berkenaan kepada pelanggan dengan harga antara RM20 dan RM25 sekeping sijil.

“Kegiatan suspek ini terbongkar susulan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita di hadapan sebuah restoran di Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan menjumpai dua buku sijil cuti sakit dan 42 keping sijil cuti sakit daripada pelbagai hospital kerajaan disyaki palsu.

“Hasil soal siasat kemudian membawa kepada serbuan di Rawang serta Kampung Tasek Tambahan, Ampang, Selangor,” katanya, kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Mohd Fahmi berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek lelaki dan merampas 67 unit cap getah pelbagai nama doktor dari pelbagai hospital serta klinik, 39 buku sijil cuti sakit, 16 buku resit rasmi poliklinik dan surgeri, satu unit ‘ped cap’ serta sebuah telefon bimbit.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan soal siasat juga mendapati suspek menjual sijil cuti sakit palsu itu di platform aplikasi WeChat selain dijual secara langsung melalui kenalan rapat.

“Kebiasaannya, suspek berurusan jual beli di kawasan Kampung Baru dan Danau Kota, Kuala Lumpur dan bagi pelanggan yang membeli secara pukal, suspek akan menjualnya dengan harga RM400 sehingga RM450 setiap buku.

“Buku sijil cuti sakit itu dipercayai dibeli suspek di kedai percetakan di Kelantan, manakala cap getah dibeli di kawasan Pudu, Kuala Lumpur,” katanya, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti, sama ada nama doktor yang tertera di cap pada sijil cuti sakit berkenaan wujud atau tidak. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close