Berita UtamaIstimewaUtama

Matrikulasi: Tun Daim kena beri data, bukan cakap pukul rata

Mengapa tambah pengambilan pelajar kalau kata sudah tak relevan?

BANGI, 10 Ramadan 1440H, Rabu – Kenyataan Tun Daim Zainuddin bahawa program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah tidak relevan untuk dilaksanakan, adalah tidak tepat dan tersasar, malah bersifat ‘pukul rata, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, Tun Daim yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan mendakwa, program itu sudah tidak relevan kerana matlamat asal penubuhan program bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah tercapai.

Malah, katanya, secara dasar ketidakseimbangan kaum di universiti juga sudah ditangani dengan baik.

Membidas kenyataan itu, Khaled berkata, Tun Daim tidak mengemukakan sebarang data untuk menyokong saranan beliau.

“Sepatutnya, beliau menunjukkan dengan lengkap data pencapaian orang Melayu dan India dalam bidang sains peringkat STPM dan bandingkan dengan pencapaian bangsa Cina.

“Lihat dan kemukakan data sepanjang 10 tahun lepas, sama ada kita mempunyai calon Melayu, Bumiputera dan India yang mencukupi dan layak, berdasarkan keputusan STPM, untuk diterima masuk ke kursus kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain.

“Tanpa mengemukakan data dan statistik yang empirikal, kenyataan Tun Daim boleh disifatkan sekadar andaian, tidak berasas, malah sangat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Khaled berkata, Tun Daim perlu melihat program matrikulasi sebagai satu inisiatif dan ikhtiar bukan ekonomi bagi menyelesaikan masalah kesenjangan dalam negara ini.

“Tun Daim tidak boleh menyangkal bahawa kesenjangan ekonomi, pendidikan dan peluang adalah realiti yang amat ketara, nyata dan semakin membarah di Malaysia.

“Rujuklah penulisan Antara Dua Darjat yang ditulis oleh Penasihat Ekonomi YAB Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid, individu yang saya pasti tidak asing kepada Tun Daim sendiri.

“Tun Daim harus melihat dalam konteks yang besar. Betapa Program Matrikulasi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak Bumiputera dan bukan Bumiputera yang berkemampuan rendah untuk mengubah hidup mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, anggapan bahawa program matrikulasi sebagai jalan belakang untuk mengimbangi komposisi kaum semata-mata amatlah salah.

Khaled berkata, sejak program itu dilaksanakan, ia telah melalui beberapa fasa pembaharuan, namun yang nyata, ia adalah sebuah instrumen untuk mengatasi perbezaan yang wujud di dalam masyarakat, melalui ikhtiar pendidikan.

Beliau mempersoal, jika Kerajaan Pakatan Harapan menganggap bahawa program matrikulasi tidak relevan, mengapa mereka menambah bilangan kemasukan pelajar ke program itu dengan angka yang sangat besar.

“Sewajarnya Tun Daim tampil dan memberikan idea dan saranan bagi memperbaiki program Matrikulasi dan menjadikannya lebih ‘sofistikated’ dalam konteks pendidikan tinggi yang mencabar kini. Bukannya memilih untuk melihat perkara ini dari sudut perkauman yang sempit semata-mata.

“Hal ehwal pendidikan adalah untuk kepentingan sejagat. Sebarang kenyataan haruslah berdasarkan fakta dan norma semasa. Tun Daim seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyuarakan pandangan beliau, bukannya mengikut sikap prejudis dan andaian semata-mata,” katanya.

Daim sendiri dah tak relevan

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close