Berita UtamaUtama

‘Kesaksamaan’ PH semai semula Peristiwa 13 Mei: Pemuda PAS

PH mahu sejarah jadi iktibar atau sedang cipta cetusan di masa depan?

BANGI, 10 Ramadan 1440H, Rabu – Ketua Pemuda PAS, Ustaz Muhammad Khalil Abd Hadi membayangkan tindakan provokasi Pakatan Harapan (PH) yang baru setahun memerintah selepas mengambil alih Putrajaya 8 Mei tahun lalu, seperti sedang menyemai semula tragedi Peristiwa 13 Mei 1969.

“Asasnya PH sedang menyemarakkan sentimen suatu kaum dan agama dengan melebihkan di satu pihak. Tetapi memprovokasi di satu pihak dengan pertikaian, gugatan dan ancaman terhadap hak yang telah sedia termeterai menjadi tonggak penting negara ini.

“Semua terjadi hampir menyamai segala peristiwa yang membawa kepada tragedi 13 Mei 1969. Antaranya PH dilihat terus mahu memperkukuhkan pendidikan berasaskan kaum; memerintah negara secara pecah dan perintah apabila menteri atau timbalan menteri dilihat berkuasa terhadap portfolio atau kedudukannya seakan mengatasi menteri, bahkan perdana menteri sendiri,” katanya.

Beliau mengakui tindak-tanduk dan sikap berani luar biasa dalam pimpinan PH sebenarnya mempunyai unsur diskriminasi, tetapi telah dicantikkan atas nama ‘kesaksamaan’.

Beliau berkata, sensitiviti kaum dan agama menjadi perkara paling awal diusik PH, yang mana lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), liberal dan Syiah diberi kedudukan.

Paling malang, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa mansuh, bukan Islam menjawat kedudukan penting dan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu pula dihina.

Antara lain, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tuntutan perjuangan Komunis dalam buku teks sekolah, institusi pendidikan Cina diberi kewangan lebih banyak, belanjawan kepada golongan pesawah, peladang, nelayan serta penternak dikurangkan dan banyak lagi jika mahu disenaraikan.

Bukan itu sahaja, Khalil berkata, sikap sibuk, biadab, celupar dan lantang secara kurang ajar juga semakin menjadi-jadi apabila tonggak negara dihina hingga turut mengheret penghinaan ke atas Rasulullah ﷺ dengan begitu terbuka.

“Semua itu mengulangi ‘perayaan’ dibuat DAP dan Gerakan yang memenangi pilihan raya ‘menjatuhkan’ Perikatan dahulu. Juga banyaknya provokasi termasuk kata-kata hasutan seperti ejekan ‘Matilah orang Melayu’, termasuk terbunuhnya orang Melayu dalam rusuhan kaum.

“Bukti ini masih boleh dilihat dalam laporan kertas putih Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Soalnya kini, apakah PH mahu biarkan ia menjadi sejarah yang ‘bersemadi aman’ dan diiktibarkan, atau sedang mencipta cetusan-cetusan di masa depan?,” soalnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close