Berita UtamaIstimewaUtama

Jika saya jadi PM…: Anwar

Presiden PKR kata Dr Mahathir kekal main peranan penting

BANGI, 10 Ramadan 1440H, Rabu – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad akan tetap memainkan peranan sebagai negarawan, walaupun kepemimpinan negara bertukar.

“Walaupun jika saya mengambil alih kepimpinan, Dr Mahathir akan tetap memainkan peranan sebagai negarawan yang banyak memberi sumbangan kepada negara.

“Oleh itu, saya tidak melihat apa-apa isu mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ulang tahun pertama pembebasan beliau daripada penjara pada 16 Mei.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu Pakatan Harapan (PH) secara dasarnya bersetuju Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun, sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-7 pada 10 Mei 2018, selepas PH mengetepikan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Anwar menjelaskan beliau mengalu-alukan komitmen dan penjelasan Dr Mahathir berhubung rancangan pemindahan kuasa. Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Saya mengalu-alukannya, dan mengenai tarikh serta perkara lain, biar perbincangan itu adalah antara saya dan beliau. Saya tidak ada masalah langsung kerana Dr Mahathir mempunyai peranan dan mesti diberi ruang,” katanya.

Mengulas isu ‘kartel dedak’ dalam PAS, Anwar berkata, masyarakat berhak mendapat penjelasan berhubung dakwaan itu kerana ia kini membabitkan kepentingan awam.

Beliau berkata, pemimpin PAS perlu menjawab dan memberi penjelasan mengenai ‘kartel dedak’ tanpa berlindung dan bukannya melarang ahli parti daripada membahaskan isu itu secara terbuka.

Katanya, isu itu kini sudah membabitkan kepentingan awam dan masyarakat ingin tahu kedudukan sebenar kerana bertentangan dengan apa yang selalu diucapkan pimpinan PAS sebelum ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close