Berita Utama

Harga barang makin mahal, pendapatan rakyat perlu ditingkatkan

Kos sara hidup tinggi, rakyat luar bandar turut sengsara

BANGI, 29 Zulkaedah 1444H, Ahad – Jumlah pendapatan rakyat di luar bandar menjadi faktor utama golongan tersebut menghadapi masalah kos sara hidup di negara ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan UUM, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, rakyat di luar bandar turut menghadapi masalah kos sara hidup yang amat dahsyat ketika ini.

Katanya, kos perbelanjaan kehidupan di bandar lebih tinggi namun jumlah pendapatan masyarakat di bandar juga lebih banyak jumlahnya berbanding rakyat di luar bandar.

“Walaupun mungkin aspek perbelanjaan itu dilihat agak tinggi di kawasan bandar, dari aspek pendapatan, di kawasan bandar juga mempunyai pendapatan secara relatifnya lebih tinggi daripada jumlah pendapatan diperoleh di luar bandar.

“Ini secara keseluruhannya akan memberikan gambaran lebih menyeluruh berkaitan dengan kos sara hidup, terutama untuk perbandingan antara kawasan di bandar dan juga di luar bandar,” katanya menulis di Berita Harian.

Beliau turut menyentuh aspek perbelanjaan yang berlaku di luar Lembah Klang.

Dr Irwan memberikan contoh kos kehidupan yang tinggi di kawasan Kubang Kerian dan harga barang makanan mahal di Kelantan.

“Begitu juga dengan makanan sama ada makan di luar ataupun di rumah. Hakikatnya, barang keperluan seperti telur dan ayam, sudah menjadi mahal harganya tidak mengira lokasi, sama ada di Lembah Klang ataupun di luar wilayah berkenaan.

“Begitu juga anggaran aspek perbelanjaan dilakukan di Kota Kinabalu yang dengan pendapatan RM5,840, berkahwin dengan dua anak, agak sukar untuk mencapai kehidupan selesa ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, aspek pendapatan yang perlu diberi perhatian untuk mengatasi cabaran kos sara hidup adalah meningkatkan pendapatan rakyat.

Beliau mencadangkan pihak kerajaan agar merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan tahap produktiviti negara.

“Selain itu, pemerkasaan dalam aspek literasi kewangan juga sangat penting supaya rakyat mengetahui ada cara lain untuk meningkatkan pendapatan mereka selain bekerja mendapat gaji semata-mata.

“Mereka juga boleh mencari sumber pendapatan lain seperti pendapatan portfolio atau pendapatan pasif untuk meningkatkan pendapatan mereka tanpa perlu bekerja lebih masa. Selain itu, aspek keusahawanan juga perlu ditekankan.

“Ini kerana apabila pendapatan dapat ditingkatkan melebihi peningkatan dalam perbelanjaan kehidupan, masalah isu kos sara hidup dapat diselesaikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button