Berita UtamaUtama

Altantuya: Perbicaraan saman sivil RM100 juta ditangguh 11 Jun

Peguam keluarga mangsa bunuh akan fail afidavit tambahan

SHAH ALAM, 10 Ramadan 1440H, Rabu -Perbicaraan kes saman sivil RM100 juta difailkan keluarga model Mongolia yang mati dibunuh pada 2006, Altantuya Shaariibuu ditangguhkan ke 11 Jun ini.

Penangguhan itu dibuat di dalam kamar Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, bersama peguam yang mewakili keluarga Altantuya, peguam penganalisis politik Abduk Razak Abdullah Baginda dan peguam kanan persekutuan.

Peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, penangguhan itu adalah berikutan pihaknya akan memfailkan afidavit tambahan kepada mahkamah minggu ini.

“Afidavit tambahan itu adalah untuk mendedahkan laporan media berkaitan kenyataan Ketua Polis Negara sebelum ini bahawa kertas siasatan membabitkan kes pembunuhan Altantuya sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan mereka sedang menunggu keputusan.

“Saya berpendapat tindakan memfailkan afidavit tambahan itu perlu dilakukan, kerana mereka (Jabatan Peguam Negara) akan memberikan respons terhadap afidavit itu sebelum hakim membuat keputusan dalam prosiding pada 11 Jun depan terhadap permohonan kami untuk mendapatkan dokumen berkaitan,” katanya yang memberitahu mahkamah juga akan menetapkan tarikh perbicaraan baharu.

Pada Julai 2018, media melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan kertas siasatan membabitkan pembunuhan Altantuya telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

Mohamad Fuzi turut dilapor mengesahkan siasatan terkini membabitkan kes itu selesai, dan polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat berkenaan.

Sangeet berkata, walaupun salinan dokumen perbicaraan kes jenayah berkaitan pembunuhan Altantuya boleh digunakan saksi sepanjang prosiding perbicaraan, namun mereka masih perlu membuat pengecaman terhadap barang bukti yang dikemukakan dalam kes itu sebelum ini.

“Disebabkan itu, bagi mengelakkan saksi-saksi dipanggil lagi sekali untuk pengecaman barang bukti, kami berhasrat melakukannya sekali gus jika permohonan kami untuk mendapatkan semula barang bukti berjaya.

“Barang bukti berkemungkinan berada di mahkamah, mungkin pada polis atau pada Pejabat Peguam Negara kerana biasanya, selepas perbicaraan kes jenayah bahan bukti dipulangkan semula kepada pegawai penyiasat atau disimpan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah memohon kepada Pendaftar Mahkamah Jenayah Shah Alam untuk mendapatkan maklumat keberadaan barang bukti berkenaan kerana sepatutnya pasti ada pihak yang tahu lokasi kesemua barang bukti kes jenayah tersebut.

Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isteri Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman RM100 juta dengan menamakan dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda serta kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lepas. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close