Berita UtamaDuniaUtama

OIC didesak adakan sidang khas henti tindakan biadab Israel

Negara Islam perlu halang pencerobohan Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa

BANGI, 9 Ramadan 1440H, Selasa – Rejim pengganas Zionis sekali lagi bertindak melampau dan zalim apabila menghalau ratusan jemaah yang sedang beriktikaf di Masjid Al-Aqsa selepas solat Tarawih, kelmarin.

Lebih menyedihkan lagi, apabila kebanyakan jemaah adalah mereka yang telah menempuhi perjalanan sukar dari bandar-bandar di Tebing Barat yang diduduki untuk menunaikan solat di Al-Aqsa, kata Pegawai Majlis Waqf, Hatem Abdel Qader.

Untuk sampai ke Baitulmaqdis bagi menunaikan solat Tarawih di waktu malam, rakyat Palestin dari Tebing Barat harus memulakan perjalanan mereka pada waktu subuh dan menunggu berjam-jam untuk melalui pusat pemeriksaan Qalandiya.

Malah, ada juga yang terpaksa menggunakan tangga untuk memanjat dinding pemisahan Israel untuk sampai di Masjid Al-Aqsa.

Rakyat Palestin terpaksa menggunakan tangga untuk ke Masjid Al-Aqsa

Justeru, tindakan polis Israel yang menghalau jemaah untuk beriktikaf di masjid itu disifatkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebagai satu tindakan biadab dan mesti ditentang keras oleh seluruh umat Islam serta tidak boleh dikompromi sama sekali.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk keras tindakan polis Israel yang buat kali kedua dalam bulan Ramadan ini menceroboh ke dalam Masjid Al-Aqsa.

“Ramadan bulan yang menjadi tumpuan umat Islam beriktikaf di masjid, apatah lagi masjid ketiga termulia dalam Islam itu. Kenapa para jemaah diusir keluar? Apa hak polis Israel bertindak menceroboh dan menganggu para jemaah Islam yang beribadat dalam masjid itu?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, negara-negara Islam tidak boleh membisu dan membiarkan keadaan ini berlanjutan.

“Kutukan keras dan tindakan untuk menghalang tentera Zionis terus mengganas di Masjid Al-Aqsa mesti digerakkan di seluruh dunia. Sidang khas perlu segera diadakan. Ini bukan kali pertama pencerobohan tentera.

“OIC mesti mengeluarkan kenyataan mendesak Israel menghentikan operasi biadab ini dan memaksa polis Zionis keluar dari masjid. Mereka mesti membantu ahli jemaah Masjid Al-Aqsa menentang Zionis dengan kekuatan semaksima mungkin.

“Kami mendesak kerajaan Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Turki bertindak untuk menghalang pencerobohan Israel ke dalam Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close