Berita UtamaDunia

Bekas Presiden Sudan didakwa tuduhan membunuh

Omar juga berdepan dakwaan ubah wang haram, biayai keganasan

KHARTOUM, 9 Ramadan 1440H, Selasa – Bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir yang digulingkan tentera, dituduh terbabit dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika era pemerintahannya.

Pejabat Pendakwa Raya Sudan dalam satu kenyataan berkata, Omar didakwa menghasut sehingga berlaku pembunuhan ketika demonstrasi besar-besaran diadakan orang awam.

Dakwaan itu dikemukakan susulan siasatan kematian anggota perubatan yang terbunuh dalam tunjuk perasaan, sehingga menyaksikan tamatnya pemerintahan Bashir, 11 April lalu.

Omar turut berdepan siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram dan pembiayaan aktiviti keganasan.

Selepas digulingkan, Omar dibawa ke penjara Kober di Khartoum dan sejak itu tidak muncul di khalayak.

Penjara Kober dibina British ketika pemerintahan kolonial dan terletak di timur tebing sungai Nil Biru di daerah utara ibu kota, di mana Bashir membesar.

Sepanjang tempoh penggulingan, Sudan dipimpin Majlis Tentera. Bagaimanapun, pemimpin penunjuk perasaan Sudan mengajak rakyat negara itu mengadakan demonstrasi besar-besaran berikutan ketegangan mengenai komposisi anggota majlis peralihan bersama orang awam dan tentera (JCMC) untuk mentadbir negara.

Penunjuk perasaan mahu majlis tentera, yang menjatuhkan Omar pada 11 April lalu, menyerahkan kuasa kepada 15 anggota yang terdiri daripada lapan wakil awam dan tujuh tokoh tentera dalam JCMC.

Tetapi majlis peralihan tentera Sudan (STMC) menolak, sebaliknya mencadangkan 10 anggota JCMC yang terdiri daripada tujuh wakil tentera dan tiga tokoh awam.

Sudan dibelenggu kekacauan sejak bantahan besar-besaran bermula Disember lalu, dengan para penunjuk perasaan menuntut Omar yang telah memerintah sejak 1989, melepaskan jawatan.

Difahamkan, Omar dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas peranannya dalam pembunuhan beramai-ramai di rantau Darfur, yang dinafikannya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close