Berita UtamaDuniaUtama

Tiga masjid diserang, Sri Lanka arah perintah berkurung

Perusuh anti-Islam lempar batu kerana salah faham di Facebook

COLOMBO, 8 Ramadan 1440H, Isnin – Polis mengarahkan perintah berkurung di bandar Chilaw, Sri Lanka selepas kumpulan anti-Islam menyerang tiga masjid dan beberapa premis perniagaan yang dimiliki penduduk muslim.

Difahamkan, serangan itu tercetus ekoran komen seorang lelaki Islam yang salah tafsir mengenai satu hantaran dalam Facebook, yang dianggap sebagai ancaman oleh kumpulan perusuh anti-Islam berkenaan.

Lelaki itu bagaimanapun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kumpulan perusuh itu bertindak melemparkan batu ke masjid dan beberapa kedai milik penduduk Islam di Chilaw, yang terletak kira-kira 80 kilometer dari utara ibu kota Colombo.

“Perintah berkurung itu dikenakan ke atas kawasan Chilaw sehingga jam 6 pagi tadi (waktu tempatan), untuk mengawal ketegangan,” kata jurucakap polis, Ruwan Gunasekera.

Bagaimanapun, perintah itu ditarik balik lebih awal daripada tempoh sepatutnya iaitu jam 4 pagi (waktu tempatan). Tentera Sri Lanka turut melepaskan tembakan amaran untuk menghentikan keganasan itu.

“Mereka (Kristian) melontar batu di tiga masjid dan beberapa kedai milik orang Islam. Sekarang keadaan sudah tenang, tetapi kita bimbang ia berulang pada waktu malam,” kata seorang muslim tempatan yang enggan nama didedahkan atas faktor keselamatan.

Susulan tindakan itu, satu masjid mengalami kerosakan yang agak teruk, katanya.

Ketegangan di Sri Lanka masih di tahap membimbangkan selepas insiden pengeboman membabit gereja dan hotel mewah pada 21 April lalu, sehingga membunuh 257 orang.

Sri Lanka diisytihar darurat sejak pengeboman berkenaan, dan pasukan keselamatan diberikan kuasa untuk menangkap suspek yang disyaki terbabit dalam serangan keganasan itu.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close