Berita Utama

Minta wanita muslim bukakan bir, kelab komedi jelas hina Islam

Apakah DBKL takut dikritik pihak tertentu jika tutup premis serta-merta?

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Belum reda kemarahan rakyat terhadap wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club baru-baru ini, tular pula video seorang lelaki menyindir dan mempersendakan agama rasmi negara itu di kelab komedi sama.

Ini susulan video yang dimuat naik di TikTok, pemilik akaun bernama Rizal Van Geyzel sedang membuat persembahan komedi berdiri yang kononnya berkongsi pengalaman bersekolah di sekolah kerajaan, mengaitkan pembelajaran pengajian Islam.

Bukan sekadar video berkenaan, menyusul pula tangkap layar daripada akaun Instagram milik Rizal – juga pengasas bersama kelab komedi itu – mempamerkan seorang wanita muslim membuka minuman bir untuk.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan banyak pihak termasuk Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau menyifatkan, kelakuan Rizal itu bukan sahaja jelas menghina agama Islam, bahkan juga masyarakat muslim.

“Sebenarnya sudah banyak video dan tangkap layar hantaran sosial medianya yang menunjukkan penghinaan terhadap Islam dan Melayu yang tular hasil pembongkaran netizen.

“Namun, tangkap layar yang saya kongsikan ini yang paling menyakitkan hati saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, jika Rizal selaku pengasas begitu bangga berkongsikan persembahan yang kononnya ‘lawak’ itu, maka ia adalah satu bentuk sokongan kuat kepada kelakuan-kelakuan melampau lain oleh pemilik kelab berkenaan.

Justeru, katanya, tidak hairanlah insiden wanita yang membuka tudung dan pakaian baru-baru ini boleh berlaku, kerana seolah-olah ada motivasi tinggi untuk melakukannya.

“Saya tak pastilah apakah DBKL masih ingin bertolak ansur atau takut dengan kritikan pihak tertentu jika mengambil tindakan menghentikan operasi kelab itu serta-merta.

“Namun, kalaulah DBKL ambil pendirian tersebut, apakah kelab ini akan berpindah operasinya ke negeri lain? Menarik juga untuk lihat, negeri dan PBT mana yang sanggup beri lesen,” katanya.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi kelab komedi itu sebagai mesej jelas bahawa mereka membantah apa juga aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti membabitkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Crackhouse Comedy Club menggesan DBKL menarik semula penggantungan lesen premis itu kerana mendakwa kelab disita tanpa sebarang notis bertulis awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button