Berita Utama

Kes buli: Nasib 10 pelajar kini di tangan pendakwa raya

Kertas siasatan kes telah dilengkapkan pada 17 Disember

KUALA KANGSAR, 3 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung satu kes buli membabitkan 10 orang pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaakob berkata kertas siasatan kes itu telah dilengkapkan pada 17 Disember, dan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya negeri Perak untuk tindakan seterusnya dua hari lepas.

“Kes membabitkan 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar ini telah selesai disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jadi sekarang ia di bawah (tindakan lanjut) pihak pendakwa raya,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan polis telah mengambil keterangan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam satu kes buli, susulan penularan video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button