Dr Ridhuan Tee AbdullahKolumnis

‘Jangan sampai imej baik Melayu bertukar ganas’

Ultra kiasu belum tahu gelora 'izzah' yang akan meledak suatu hari nanti

SAYA teruja membaca artikel yang ditulis oleh pemimpin ultra kiasu bertaraf senator, bertajuk ‘Peralihan rejim memperkukuh sistem demokrasi’. Faham atau tidak apa dia dimaksudkan oleh sistem demokrasi? Selaku pelajar Sains Politik, izin saya jelaskan.

Demokrasi berasal daripada perkataan latin, demos dan kratos bermaksud pemerintahan rakyat. Abraham Lincoln, memanjangkan lagi kepada pemerintahan rakyat, untuk rakyat, kepada rakyat. ‘Government of the people, by the people, for the people’.

Asasnya adalah kebebasan atau ‘freedom’ dan keterbukaan menerima pandangan rakyat serta ‘check and balance’. Kebebasan bersuara rakyat, sebagaimana yang sangat ditekankan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Apakah nadi demokrasi ini benar-benar dirasai rakyat marhaen seperti saya ini? Maaf saya tidak nampak lagi. ‘Seteruk-teruk’ UMNO ketika menerajui kerajaan, kita dapat lihat bagaimana UMNO meraikan kepelbagaian dan pembangkang.

Ramai dalam kalangan pemimpin dan ahli pembangkang diberikan tempat dalam beberapa perkara institusi berkaitan Islam. Ini belum dikira lagi kepada empat profesor yang dikangkungkan dek kerana menyuarakan persoalan yang sememangnya menjadi kesepakaran mereka.

Tidak mengapalah jika mahu dikaitkan juga UMNO dengan rasuah, saya akui semuanya itu. Tetapi dalam buruknya UMNO dengan imej rasuah, kebaikannya tetap ada. Misalnya, sifat keterbukaan UMNO dalam meraikan amalan demokrasi.

Jikapun UMNO dikaitkan dengan rasuah, PH juga kini tidak dapat dielakkan dari dikaitkan dengan fitnah setelah banyak tuduhan terhadap UMNO kini dilihat rakyat sebagai persepsi yang masih belum dibuktikan. Lebih malang lagi jika rakyat mengimbau janji dan manifesto yang dinilai rakyat sebagai bohong dan palsu.

Saya pernah di’gam’ suatu ketika dahulu oleh UMNO. Tetapi gam itu berjaya dibuka semula. Kini, apabila PH mengambilalih, saya ingatkan tidak ada lagi gam sana sini, pemimpin-pemimpin selalu bercakap soal keterbukaan dan meraikan kepelbagaian. Rupanya, tidak. Saya terus digam lagi kuat daripada gam dahulu.

Saya masih ingat apabila Majlis Perundingan Islam ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semua wakil daripada parti politik diraikan.

Malah mereka diberikan kepercayaan untuk mengetuai beberapa kluster. Seperti Almarhum Haron Din (PAS), Profesor Dato Dr Redzuan Othman (PKR), Dr Siddiq Fadil (ABIM-PKR), begitu juga dengan pemimpin IKRAM (PAN).

Pendek kata, pemimpin pembangkang diberikan tempat untuk memberikan pandangan secara profesional.

Tetapi hari ini, tidak perlu pergi jauh, lihatlah apa yang ada YADIM, dipenuhi dengan PAN, DAP dan PKR. Boleh dikatakan jika ada profesional pun, profesional yang dipilih adalah dalam kalangan yang pro-PAN, pro-DAP dan pro-PKR.

Apa sudah jadi? Janji dahulu tidak mahu kacau institusi-institusi awam. Tetapi mereka cipta janji, mereka yang langgar janji.

Bukan itu sahaja, mereka turut ragu dengan penjawat awam sehingga Tun Daim Zainuddin terpaksa mengeluarkan kenyataan, kerajaan yang diterajui PH ‘mati’ jika tidak mula kerjasama dengan penjawat awam.

Tidak cukup dengan itu, mereka bersungguh-sungguh melakukan ‘pembunuhan karakter’ tokoh-tokoh tertentu daripada bangsa tertentu bagi mematikan kerjaya politiknya.

Manakala tokoh-tokoh yang ada bersama mereka kini pun, hakikatnya adalah setengah hidup kerana separuh karakter mereka telah dibunuh ketika mereka pernah bermusuhan. Separuh karakter yang tinggal dalam diam cuba dibunuh setiap kali ia bertindak tidak bertepatan dengan kehendak yang mereka paksakan.

Lebih dahsyat lagi, ultra kiasu begitu berani campur tangan dalam hal ehwal berkaitan Islam. Tidak siapa berani menegur. Lihat sahaja kenyataan demi kenyataan mereka berkaitan dengan isu rusuhan kuil Subang Jaya, isu Allahyarham Muhammad Adib, zakat, Tabung Haji dan sebagainya.

Kalau dimuhasabah berapa kali orang Melayu mengganggu agama mereka sedang saban hari kekerapan memprovokasi ajaran Islam semakin bertambah. Mujurlah para ulama mereka sentiasa memperingatkan bahawa Allah melarang menghina tuhan agama lain.

Cuma hebatnya orang Melayu, mereka tetap sabar meskipun kenyataan itu menyakitkan hati. Itulah Melayu Islam yang saya kenali sejak dahulu. Saya berusaha keras untuk ultra kiasu memahaminya.

Tetapi nampaknya mereka sengaja buat tidak tahu. Provokasi demi provokasi terus dibuat demi ‘test market’, kemudian dikendurkan dan kemudiannya di’test’ lagi.

Selalu saya ingatkan bahawa ketabahan dan kesabaran Melayu ini berpunca daripada hasil didikan Islam yang menjadikan mereka amat berjiwa besar.

Mujurlah aliran Ahli Sunnah wal Jamaah yang dari sudut politiknya mementingkan aspek kestabilan dan keamanan telah mendominasi perwatakan kenegaraan Melayu sejak zaman berzaman, sesuai sebagaimana yang tampak dari olahan kata Dar al-Salam.

Dengan didikan Islam bawaan kesufian oleh para ulama, Melayu dahulunya sebuah bangsa yang ‘ganas’, berubah menjadi manusia yang lembut, bersopan santun, menghormati orang lain dan meraikan kepelbagaian, meskipun bumi mereka sendiri dikaut segala keuntungan dan hasil masyhurnya oleh orang luar.

Ini dibuktikan lagi dengan pandangan sarjana bukan Islam, Weirtheim (1956) dalam bukunya Indonesia Society in Transition. Beliau mengatakan dengan Islamnya orang Melayu telah membawa perubahan hidup yang sangat ketara.

Keadilan Islam telah berjaya menghapuskan sistem kasta yang membahagikan penduduk alam melayu kepada beberapa susun lapis.

Menurut Weirtheim, Islam juga telah menghapuskan semangat kedaerahan dan membentuk perpaduan dalam kalangan penduduk alam Melayu melalui konsep ummah atau masyarakat Islam.

Konsep perpaduan ini menurut beliau turut diterjemahkan dalam aspek ibadah seperti ibadat haji. Beliau menyamakan peranan Islam di alam Melayu dengan zaman permulaan Islam di negeri Arab.

Islam telah menghapuskan semangat kesukuan orang Arab dalam zaman permulaannya dan mewujudkan masyarakat yang bercorak universal tanpa semangat perkauman atau kebangsaan yang sempit.

Semua keadaan ini telah dibuktikan melalui kehebatan empayar Kesultanan Melayu Islam Melaka.

Pada zaman penjajahan barat di alam Melayu pula, Islamlah yang memberikan semangat yang menentukan langkah perubahan ini melalui pergerakan menentang penjajah dengan cara jihad (perang suci) melawan penjajah.

Watak-watak tradisional kesufian yang dilihat selembut bayu itulah yang pernah menjadi angin kencang menggerakkan perang paderi di Indonesia, perjuangan Tok Janggut, Mat Kilau dan Haji Abdul Rahman Limbong di Tanah Melayu. Jangan lupa untuk tinjau-tinjau juga apa yang pernah berlaku di kepulauan Borneo.

Perlu diingat, sejarah perkembangan faham kebangsaan di alam Melayu, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia, pada peringkat permulaannya memperlihatkan pengaruh Islam begitu ketara. Kedaifan dan kezuhudan institusi pondok dan pasantren menyimpan semangat ‘tabut’ yang tak dapat dijangkakan, walaupun dilihat usang dan ketinggalan.

Konsep jihad yang dibawa bukan hanya menyuruh penganut-penganutnya beribadat semata-mata, tetapi mengambil bahagian yang aktif dalam semua lapangan, termasuk politik, sosial, ekonomi, dan lain-lain.

Gerakan Kebangsaan di Malaysia dipeloporkan oleh Syed Syeikh Abdul Hadi, iaitu murid kepada Sheikh Muhammad Abduh, Mesir, begitu menyerlah sehingga menakutkan musuh-musuh Islam (1904).

Pendek kata, dengan datangnya Islam dan berlaku pengislaman orang Melayu secara besar-besaran, karakter Melayu berubah berasaskan kepada nilai Islam, berdisiplin dan beretika.

Pun begitu, perlu juga diingat bahawa DNA Melayu yang ganas masih tersimpan jika terus ditekan. Kerana kefahaman Islam, DNA terpendam, tidak dikeluarkan. Sebab itu, saya selalu ingatkan, jangan dicabar dan ditekan sangat Melayu Islam ini. Jika tidak, Melayu akan mengamuk. Istilah mengamuk inilah yang tidak dapat difahami oleh ultra kiasu hingga kini.

Ultra kiasu ingat dengan wang yang ada, Melayu boleh terus dibeli. Sehinggalah simpulan Islam yang telah sebati itu cuba untuk diputuskan. Dibimbangi DNA ganas akan keluar kembali. Syukurkah Islam masih menyimpan rapi “alter” bangsa yang nampak penuh kesabaran dan kesopanan ini. Setidaknya mereka tidak seperti di Indonesia suatu ketika dahulu.

Cuba lihat perubahan Melayu sebelum kesultanan Melayu Melaka, selepas Islam, zaman penjajahan, kebangkitan Melayu menentang penjajah, Menentang Malayan Union, seterusnya perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Begitu juga peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Semua bukti ini menunjukkan bahawa, selama ini, apabila Melayu hanya diam atau mengalah, bukan bermakna, tidak ada masalah. Masalah itu tetap ada. Tetapi terpendam kerana kehebatan agama Islam telah menutupi segala sifat-sifat ganas itu yang terdapat pada Melayu.

Saranan saya, ultra kiasu cuba memahami maksud Rahmah, iaitu antara gabungan Mahabbah dan Izzah. Secara falsafahnya Izzah dikaitkan dengan ajaran Nabi Musa yang amat menekankaan kekuatan sesuai dengan kedegilan Bani Israel dan Mahabbah adalah ajaran Nabi Isa yang menekankan aspek kerohanian yang cuba mendidik hati

Jangan ambil kesempatan dengan curahan Mahabbah yang kita limpahkan selama ini. Ultra kiasu mungkin belum tahu gelora izzah yang tersimpan dengan sabar mungkin akan meledak suatu masa nanti. Jangan jadikan demokrasi itu sebagai topeng. Hakikat sebenarnya, demokrasi itu hanya tinggal konsep dan istilah bagi tujuan menutup kelemahan dan keaiban mereka.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close