Berita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

Dua kapal tangki minyak Arab Saudi kena sabotaj di pantai UAE

Kejadian menyusul selepas AS beri amaran Iran mungkin serang kapal

DUBAI, 8 Ramadan 1440H, Isnin – Arab Saudi mengesahkan dua kapal tangki minyaknya disabotaj di pesisir pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE), dalam serangan yang menyebabkan kerosakan ketara kepada kapal berkenaan.

Salah sebuah kapal itu dalam perjalanan mengambil minyak Arab Saudi untuk dihantar ke Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih, hari ini.

Kenyataan beliau dikeluarkan selepas UAE yang menjadi sekutu kuatnya mengecam laporan empat kapal yang berlabuh di bandar pelabuhan Fujairah, disabotaj.

Pelabuhan Fujairah terletak kira-kira 140 kilometer di selatan Selat Hormuz yang menjadi antara laluan utama perkapalan di rantau itu.

Semalam, media Iran dan Lubnan menyiarkan laporan bahawa berlaku letupan di pelabuhan itu, tetapi pihak berkuasa UAE berkata laporan itu tidak tepat.

Pegawai UAE enggan mengulas mengenai kejadian sabotaj terhadap kapal itu, atau siapa yang bertanggungjawab.

Laporan itu menyusul amaran AS kepada semua kapal, kemungkinan Iran dan proksi mereka, akan menyasarkan laluan maritim di wilayah berkenaan, dan Washington juga menggerakkan kedudukan angkatan kapal pengangkutnya, serta pesawat pengebom B-52 ke Teluk, bagi membalas ‘ancaman’ Tehran.

Sebaik pengumuman dibuat oleh Arab Saudi, Kementerian Luar Iran meminta dikeluarkan penjelasan lanjut berhubung apa yang sebenarnya berlaku ke atas kapal tangki Arab Saudi itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi dipetik agensi berita IRNA berkata, maklumat lengkap kejadian itu perlu diberitahu.

Abbas memberi amaran terhadap sebarang konspirasi terancang oleh pihak luar untuk menganggu-gugat keselamatan dan kestabilan maritim di wilayah itu.

Ketegangan memuncak sejak Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran, sambil kedua-dua pihak bertukar-tukar amaran, membawa kepada sekatan lebih ketat dikenakan Washington terhadap Tehran.

Dalam kenyataannya, menteri tenaga Arab Saudi itu berkata, serangan terhadap dua kapal tangki itu berlaku pada jam 6 pagi semalam, waktu tempatan.

“Salah sebuah kapal itu dalam perjalanan mengisi minyak mentah di pelabuhan Ras Tanura, untuk dihantar kepada pelanggan Saudi Aramco di AS.

“Nasib baik serangan itu tidak menyebabkan kematian atau tumpahan minyak. Tetapi, ia menyebabkan kerosakan ketara kepada struktur kedua-dua kapal itu,” kata Khalid.

Arab Saudi bagaimanapun, tidak menyatakan dua kapal yang terbabit, atau siapa yang disyaki melakukan sabotaj itu.

Sementara itu, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyifatkan dakwaan sabotaj itu sebagai sesuatu yang serius.

“Tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu akan meningkatkan ketegangan di wilayah berkenaan dan mendedahkan orang ramai kepada bahaya besar,” kata Setiausaha Agung GCC, Abdullatif bin Rashid al-Zayani. – Agensi

AS tingkat ancaman serang Iran, tambah kekuatan tentera

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close