Berita Utama

Polis siasat kebocoran dokuman penghakiman kes Rosmah

Terima aduan daripada seorang pegawai Mahkamah Tinggi semalam

KUALA LUMPUR, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran dokumen penghakiman perbicaraan melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor yang disiarkan di sebuah portal berita tempatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana kesalahan membocorkan maklumat, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (kesalahan menyebarkan kenyataan jelik).

Beliau berkata polis menerima aduan mengenai perkara itu daripada seorang pegawai Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

“Semasa pengadu berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pengadu telah dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang merupakan dokumen draf awal disediakan Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Dokumen itu merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pendapat Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada Hakim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata dokumen berkenaan akan dipinda berdasarkan kajian serta bacaan dan ia bukan satu keputusan penghakiman.

Menurutnya, hasil semakan polis mendapati terdapat satu artikel dimuat naik di sebuah portal berita bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022’, yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata laporan media itu mendakwa keputusan mahkamah mendapati Rosmah bersalah telah disediakan namun pengadu mendapati dokumen tersebut dipinda daripada dokumen asal.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button