ArtikelBerita UtamaIstimewaUtama

VIDEO | ‘KESIAN MELAYU’

Kemalasan bukan milik eksklusif bangsa Melayu

ORANG Melayu dulu bangun sebelum subuh. Selepas solat subuh terus turun ke kebun menoreh getah. Ada yang turun menoreh sebelum subuh pun. Nyamuk jangan cerita. Harimau pun kadang-kadang ada.

Dalam pukul 9 atau 10 selesai menoreh. Kena tunggu susu getah penuh ‘pot’ baru boleh kutip masuk baldi. Kemudian bawa ke pondok untuk mesin jadi getah keping.

Sementara nak tunggu susu getah masuk ‘pot’ inilah mereka ke warung untuk minum kopi dan sembang-sembang. Masa ni lah Mat Salleh (orang Inggeris) baru bangun dan meronda masuk kampung. Dia tengok orang Melayu tadi dok bersembang lalu ditulis dalam bukunya ‘Melayu malas’.

Pesawah padi pun sama. Selesai musim menuai biasanya pada musim panas. Sementara nak tunggu hujan untuk membajak semula dan memulakan musim baru, pesawah berehat sejenak. Musim peralihan ni angin biasanya kuat. Sesuai untuk main layang-layang di bendang yang sudah dituai.

Lalu datang Mat Salleh meronda dan lihat orang Melayu dok main layang-layang. Lalu ditulis dalam bukunya ‘Melayu malas’, lebih banyak berlibur daripada bekerja.

Hari ni anak cucu penoreh getah dan pesawah ini membaca buku-buku yang ditulis Mat Salleh tadi. Lalu sebahagian mereka pun percaya sepenuh hati bahawa memang nenek moyang mereka pemalas.

Ketika saya menuntut di Amerika dulu saya lihat dengan mata kepala sendiri betapa malasnya Mat Salleh. Ada pensyarah Mat Salleh yang tak mau buat kuliah malam Selasa hanya kerana ada ‘American Football game live’ di TV. Ada yang tamatkan kuliah lebih awal jika pasukan kegemarannya bermain.

Setiap musim panas mereka bercuti 3 bulan. Summer semester jika kita belajar, kena bayar yuran lebih sebab gaji pensyarah lebih tinggi jika disuruh bekerja pada musim panas.

Pelajar Mat Salleh pula hari Khamis malam lagi dah nak mula ‘happy hour’, belum hujung minggu lagi. Mabuk dan berparti saja kegemaran kebanyakan mereka.

Jadi kemalasan ada di mana-mana, hatta di negara maju pun. Kemalasan bukan milik eksklusif bangsa Melayu. Memang ada segelintir Melayu yang malas, sama juga dengan semua bangsa lain di dunia ini.

Tapi kebanyakan Melayu juga bekerja keras demi mencari rezeki dan keselesaan hidup. Jangan pukul rata…


BERSAWAH DI MALAM HARI

Baru-baru ini (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) mengeluarkan kenyataan bahawa kini orang boleh menanam padi pada waktu malam. Berbagai reaksi khususnya daripada netizen terhadap kenyataan PM itu.

Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam kawasan sawah padi di Kampung Alor Madi, Anak Bukit, Kedah. Arwah tok wan saya bersawah. Arwah ayah juga bersawah. Saya pun pernah turun membantu di sawah dulu.

Memang lah dulu-dulu sekitar 1970-an dan awal 1980-an kerja-kerja menanam padi dan menuai atau mengerat padi serta membanting atau memukoi dilakukan secara manual, iaitu menggunakan tenaga manusia. Tetapi secara beransur-ansur tenaga manusia diganti oleh mesin dan jentera.

Mula-mula lewat 1960-an dan 1970-an diperkenalkan ‘pedestrian tractor’ dan ‘tractor’ untuk membajak sawah. Asalnya sawah dibajak dengan tenaga kerbau. Tentulah kerbau hanya bekerja di siang hari. Tapi kemudian apabila ada tractor sudah ada orang yang membajak waktu malam.

Pada 1980-an pesawah diperkenalkan pula dengan mesin potong padi atau ‘combine harvester’. Memang asalnya padi dipotong, dibanting kemudian dianginkan menggunakan tenaga manusia. Dan kerja menuai padi ini dibuat di waktu siang. Tetapi apabila ada ‘combine harvester’ ada juga pesawah yang menuai di waktu malam.

Pada 1980-an juga pesawah sudah mula tidak menanam padi lagi tetapi bertukar ke sistem tabur terus. Mula-mula tabur guna tangan. Tidak lama kemudian guna mesin tabur terus.

Mutakhir ini diperkenalkan pula teknologi drone untuk tabur terus benih padi. Dulu memang kerja menanam padi dibuat pada waktu siang. Tetapi dengan teknologi mutakhir ini sama ada drone atau mesin tabur terus tidak mustahil jika kerja-kerja ini dibuat pada malam hari. Sementelah pula dengan suhu yang panas lebih 30°C pada siang hari.

Jadi apa yang disebut oleh Tun Dr Mahathir itu bukan lah perkara yang mustahil dilaksanakan di negara kita dalam masa terdekat ini, jika kita berfikir dengan fikiran yang terbuka…

Abdul Muati Ahmad

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close