PendapatUtama

Islam semakin tersebar di Barat: Fakta atau persepsi?

BARU-BARU ini, saya tertarik untuk mengikuti diskusi hangat dalam segmen Analisis antara Tn Haji Aminuddin Yahya, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), dan saudara Wan Ji Wan Hussin, Pegawai Penerangan bagi Lim Guan Eng, di bawah tajuk ‘Islam dibuli di bawah PH?’

Saudara Wan Ji banyak menyebut bahawa sentimen Islam ‘dibuli’ di bawah pentadbiran PH adalah persepsi semata-mata. Maka saya tertarik untuk mengulas satu kenyataan saudara Wan Ji mengenai penyebaran Islam di Barat. Adakah fakta atau persepsi?

Persepsi: Islam semakin tersebar di Barat

Kalau kita pergi dekat negara barat, kita pergi ke Sweden sebagai contoh, kita tengok macam mana Islam kat sana itu semakin tersebar.” – Wan Ji Wan Hussin

Saya kira jika kita mahu bincang persepsi atau fakta, kita perlu bercakap tentang data dan nombor. Jadi bagi tulisan saya kali ini, saya akan menggunakan kajian Pew Research Center, satu kajian yang melihat statistik populasi yang menyeluruh, dan membuat ‘projection’ daripada tahun 2010-2050 berdasarkan trend semasa.

Tiada kajian yang sempurna, namun ia merupakan kajian yang paling komprehensif pada masa ini. Pembaca yang berminat untuk mendalami metodologi kajian bolehmembuat bacaan lanjut di senarai rujukan.[1]

Fakta 1: Populasi Islam semakin bertambah di Barat

Tidak dapat dinafikan, statistik menunjukkan bahawa populasi Muslim semakin bertambah di Barat. Di Eropah, Islam merupakan agama kedua terbesar berbanding Kristian. Pada tahun 2010, populasi Muslim di Eropah merupakan sebanyak 44 juta dan dijangka berkembang menjadi 58 juta pada tahun 2030.[2]

Di Amerika Syarikat (AS), populasi Muslim telah mencapai lebih 3 juta, namun ini hanyalah lebih kurang 1 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk AS. Di seluruh dunia, populasi Muslim dijangka meningkat sebanyak 70 peratus pada 2015-2060, dan dijangka akan berkembang menjadi 26.4 peratus populasi dunia pada tahun 2030.

Pertambahan populasi Muslim di Barat adalah satu fakta yang tidak dapat disangkal lagi, namun ia amat berbeza dengan persepsi bahawa Islam semakin ‘tersebar’ di Barat. Fakta-fakta seterusnya akan memberi penerangan lanjut tentang punca pertambahan populasi Muslim di Barat.

Fakta 2: Pertambahan populasi utama adalahberpunca daripada migrasi.

Kajian daripada Pew Research Center mendapati bahawa pertambahan populasi Muslim di Eropah yang utama antara tahun 2010-2016 adalah migrasi daripada negara-negara jiran.

Daripada anggaran 6.2 juta pertambahan populasi Muslim pada tahun tersebut, 3.5 juta adalah pertambahan yang berpunca daripada migrasi, selebihnya kepada sebab-sebab yang akan saya huraikan seterusnya.[3]

Umum diketahui sebahagian besar populasi Muslim di Barat adalah hasil daripada Muslim yang melarikan diri daripada negara-negara Islam yang dijajah, ataupun sedang porak-poranda hasil campur tangan negara-negara Barat sendiri. Perkara ini telah menyumbang kepada kadar pelarian dan ‘asylum seekers’ yang tinggi.

Fakta 3: Populasi Muslim mempunyai kadar kesuburan yang tinggi berbanding agama lain

Antara tahun 2010-2016, populasi Muslim di Eropah menunjukkan pertambahan yang semulajadi melalui kelahiran sebanyak 2.9 juta daripada keseluruhan 6.24 juta populasi yang bertambah. Ini adalah kerana orang Islam mempunyai kadar kesuburan yang tinggi berbanding agama lain.

Data pada tahun 2010-2015 menunjukkan orang Islam mempunyai kadar kesuburan sebanyak 3.1 orang anak bagi setiap keluarga. Dijangka pada tahun 2015-2060, setiap keluarga Muslim akan menghasilkan purata 2.9 anak, sementara Kristian sebanyak 2.6 anak, dan yang lain-lain sebanyak 2.2 anak.[4] Ini menunjukkan bahawa kadar pertambahan keluarga umat Islam adalah yang paling produktif, menyumbang secara signifikan terhadap pertambahan populasi Muslim di dunia.

Fakta 4: Lebih ramai orang yang murtad berbanding memeluk Islam di Barat

Fakta yang ke-4 merupakan fakta yang paling penting untuk difahami. Kenyataan Wan Ji seolah-olah menyatakan bahawa umat Islam di barat semakin ramai memeluk Islam. Namun saya ingin nyatakan bahawa tiada statistik yang mampu menyokong kenyataan tersebut, malah menunjukkan sebaliknya, lebih ramai orang yang murtad di negara Barat, berbanding memeluk Islam antara tahun 2010 dan 2016.

Grafik di atas menunjukkan bahawa daripada jumlah populasi muslim yang murtad sebenarnya adalah 160 ribu lebih banyak berbanding jumlah populasi muslim yang memeluk Islam sepanjang 2010 dan 2016.[3] Hal ini mengakibatkan pemeluk agama Islam di Eropah secara keseluruhan semakin berkurangan, bukan bertambahSeterusnya kajian populasi Muslim di Amerika pula menunjukkan bahawa bilangan orang yang memeluk Islam (23 peratus) adalah sama dengan peratusan orang yang murtad (23 peratus).

[5] Justeru, kenyataan bahawa Islam semakin tersebar di Barat adalah tidak tepat dan tiada sokongan fakta.

Kesimpulan

Daripada penerangan saya di atas, jelas difahami bahawa pertambahan populasi Muslim di Eropah dan Amerika sebenarnya bukanlah berpunca daripada tersebarnya Islam di Barat, tetapi hanya pertambahan semula jadi dan migrasi. Ini tidaklah bermakna tidak ada pertambahan orang memeluk Islam, tetapi ini menunjukkan bahawa disebalik pertambahan tersebut, semakin ramai umat Islam yang murtad di bawah pentadbiran demokrasi liberal di barat.

Ironi juga apabila migrasi yang menyumbang kepada ‘tersebarnya Islam di Barat’ adalah hasil campur tanganrakan-rakan negara Barat yang diangkat oleh Wan Ji sebagai model ‘good governance’ untuk membangun negara berteraskan Rahmatan Lil Alamin.

Saya berharap saudara Wan Ji tidak hanya bercakap dengan persepsi semata-mata selepas ini. Cubalah bercakap dengan fakta dan kurangkan ‘saya rasa’. Umum diketahui umat Islam yang mempunyai ‘Inferiority Complex’ memang mudah berasa malu dengan keIslaman, dan mudah menerima sebarang persepsi yang memburukkan negara-negara Islam dan mengangkat negara-negara kafir. ‘Inferiority Complex’ ini sememangnya merupakan ciri yang sesuai bagi seorang bekas Pegawai Penerangan kepada Lim Guan Eng.

Di kesempatan yang akan datang, saya akan mengupas kenyataan Wan Ji tentang Islam yang semakin ‘menang’ di Barat. Adakah fakta atau persepsi?

Yusri Jamal, MS (Analytics), MPP (Public Policy).

Senarai Rujukan

[1]C. Hackett, A. Cooperman, and K. Ritchey, “The Future of World Religions: Population Growth Projections,” 2015.

[2]Pew Research Center, “The Future of the Global Muslim Population,” 2011.

[3]C. Hackett, “5 facts about the Muslim population in Europe | Pew Research Center,” Pew Research Center, 2017. [Online]. Available: https://www.pewresearch.org/fact-tank/2017/11/29/5-facts-about-the-muslim-population-in-europe/.

[4]M. Lipka and C. Hackett, “Why Muslims are the world’s fastest-growing religious group | Pew Research Center,” Pew Research Centre, 2017. [Online]. Available: https://www.pewresearch.org/fact-tank/2017/04/06/why-muslims-are-the-worlds-fastest-growing-religious-group/.

[5]B. Mohamed and E. Podrebarac Sciupac, “Islam gains about as many converts as it loses in U.S. | Pew Research Center,” 2018. [Online]. Available: https://www.pewresearch.org/fact-tank/2018/01/26/the-share-of-americans-who-leave-islam-is-offset-by-those-who-become-muslim/.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close