Berita UtamaIstimewaUtama

Bertemu Ilahi ketika laung azan

Ustaz cerita nostalgia bersama pelajar semester lima Diploma Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah

BANGI, 7 Ramadan 1440H, Ahad – Perginya pada penghulu segala hari, pada bulan yang lebih baik daripada 1,000 bulan, di tempat mulia iaitu di dalam masjid, dan ketika itu dia sedang mengungkap kebesaran Allah, mengajak manusia menyembah Allah, sujud kepadaNya – dia melaungkan azan solat Jumaat, kelmarin.

Tatkala mengalunkan azan di Masjid Sungai Panching Selatan di Kuantan, Muhammad Amirul Najmie Muhammad Asrull Leonard tidak sedarkan diri hinggalah pengakhiran hayatnya.

“Selamat pulang wahai teman. Rehatlah, sungguh kami cemburu dengan cara Allah mengambilmu. Saya rasa tidak perlu saya perkenalkan siapa adinda Amirul ini pada saya. Ramai orang tahu yang dia kawan rapat saya.”

Itu yang diceritakan Ustaz Muhammad Izzan Idris mengenai rakan baiknya, yang juga pelajar semester lima Diploma Pengajian Islam (Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan) Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Gambar kenangan Ustaz Muhammad Izzan Idris (kiri) dan Allahyarham Muhammad Amirul Najmie Muhammad Asrull Leonard di Masjid KUIPSAS, tahun lalu.

“Gambar kami yang beratus-ratus keping, selalu menjadi teman lepak saya, teman bercerita saya, kalau Ramadan biasanya dia akan teman saya ke masjid-masjid tempat saya bertugas imam Tarawih.

“Amirul yang saya kenali: Dia seorang yang sangat meminati bacaan al-Quran saya, sehinggakan bila saya mengaji dalam kereta pun, dia pasti akan rakam.

“Dia seorang yang banyak membantu orang. Dia seorang yang ceria. Mudah didekati. Dia seorang yang sentiasa gigih dalam apa yang dia lakukan. Saya teringat dia selalu minta saya ajar cara mengeluarkan suara yang betul ketika azan. Sehingga dapat, dia usahakan,” katanya.

Ustaz Muhammad Izzan berkongsi kesedihan itu dalam laman Facebooknya semalam.

“Semalam hari yang saya rasa seolah mimpi. Amirul, kau telah pergi selamanya. Bertemu Allah dalam keadaan kau sedang mengalunkan azan Jumaat. Jemaah melihat hal ini. Menjadi saksi mulianya kau menghadap Sang Pencipta.

“Gelak tawa, susah senang dan memoriku bersama kau Mirul, tak kan sesekali dilupakan. Aku yakin kau juga senang bersama aku. Allah pinjamkan 3 tahun untuk kita saling mengenali. Moga kita tergolong dalam apa yang dijanjikan Allah menerusi sebuah hadith baginda

“Nabi saw berkata, sesungguhnya Allah akan berkata di hari akhirat kelak: Di mana mereka yang saling berkasih kerana keagunganKu? Hari ini Aku naungi mereka dengan naunganKu. Dan hari ini tidak ada naungan melainkan naunganKu sahaja. Banyak lagi kalau saya hendak tulis tentang Amirul. Namun linangan air mata lebih pantas dari jari yang mencatit,” kata Ustaz Muhammad Izzan.

Antara komen netizen media massa mengenai kematian Muhammad Amirul Najmie Muhammad Asrull Leonard.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close