Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

23 gadis Rohingya diselamatkan daripada dihantar ke Malaysia

Polis Bangladesh tahan empat penyeludup dalam serbuan di Dhaka

DHAKA, 7 Ramadan 1440H, Ahad – Sekurang-kurangnya 23 gadis bawah umur etnik Rohingya diselamatkan, selepas dibawa dari kem pelarian ke sini, untuk dihantar ke Malaysia menerusi udara, kata polis, hari ini.

Pada masa sama, polis menangkap empat penyeludup manusia, termasuk pasangan suami isteri Rohingya, dan merampas lebih 50 pasport Bangladesh daripada mereka, semalam.

Jurucakap polis, Mokhlesur Rahman berkata, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di utara bandar ini dan menemukan gadis bawah umur yang disembunyikan di dalam bilik di sebuah kedai jahit.

“Mereka dijanjikan pekerjaan di Malaysia dan dibawa dari kem pelarian di Cox’s Bazar. Gadis berkenaan berusia antara 15 hingga 19 tahun, dan berpotensi diserahkan kepada sindiket pelacuran.

“Kami telah memfailkan kes terhadap empat suspek, sementara semua gadis berkenaan dihantar pulang ke kem masing-masing di Cox’s Bazar,” katanya.

Ketua Polis Ukhiya di mana terletaknya Kutupalong – kem pelarian terbesar – mengesahkan menerima semua gadis terbabit dan akan menghantar mereka ke penempatan masing-masing.

Kira-kira 740,000 etnik muslim Rohingya melarikan diri daripada tindakan kejam tentera Myanmar pada Ogos 2017, dan tiba di Bangladesh untuk menyertai 300,000 lagi pelarian sedia ada.

Putus asa terhadap keadaan hidup dan masa depan ekonomi, pelarian, terutama gadis bawah umur, dengan mudah jatuh ke tangan sindiket pemerdagangan manusia yang menyelinap di dalam kem-kem pelarian itu mencari mangsa.

Menurut aktivis dan kumpulan hak asasi Rohingya, puluhan wanita dilaporkan tiba di Malaysia untuk berkahwin dengan lelaki Rohingya, menghidupkan kembali aktiviti pemerdagangan manusia yang sebelum ini sudah memindahkan ribuan etnik itu setahun.

Ribuan pelarian Rohingya menggadai nyawa untuk berpindah ke Malaysia dan Thailand, terutama menggunakan bot, ketika Teluk Bengal tenang, sebelum ketibaan musim monsun.

Namun, ramai juga pelarian Rohingya itu dilaporkan terbang ke Malaysia dan Timur Tengah menggunakan pasport Bangladesh, serta dokumen perjalanan.

Etnik Rohingya berdepan penganiayaan oleh rejim Myanmar sejak berdekad lalu, malah negara itu membatalkan kerakyatan mereka pada 1982, menyebabkan etnik berkenaan menjadi ‘warga tanpa negara’. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close