Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Pemuda Palestin maut ditembak

Demonstrasi terhadap rejim pengganas Israel terus diadakan di Gaza

GAZA, 6 Ramadan 1440H, Sabtu – Askar rejim pengganas Israel menembak mati seorang pemuda Palestin, – yang pertama dalam tempoh lima hari umat Islam menyambut Ramadan – dan mencederakan puluhan yang lain di sempadan Semenanjung Gaza-Israel, semalam.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, Abdullah Gomaa Abdel, 24 tahun, ditembak di perut ketika tunjuk perasaan The Great March of Return, mendesak hak mereka ke atas tanah yang dirampas rejim Zionis dikembalikan, dan menamatkan kepungan ke atas Semenanjung Gaza.

Pada masa sama, askar rejim Zionis terbabit turut melepaskan tembakan peluru hidup, peluru bersalut getah dan gas pemedih mata menyebabkan sekurang-kurangnya 30 penunjuk perasaan cedera.

Antara yang cedera termasuk empat kanak-kanak dan anggota sukarelawan perubatan, kata jurucakap kementerian itu.

Tunjuk perasaan semalam juga dibuat bagi menyatakan kesatuan rakyat Palestin menentang perjanjian damai abad ini – merujuk kepada pelan damai yang dirancang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Kematian semalam juga adalah yang pertama sejak pertempuran terburuk antara pejuang Palestin dan rejim Zionis di Gaza sejak 2014, yang tercetus minggu lalu.

Dalam serangan rejim ke atas Gaza minggu lalu, 25 warga Palestin, termasuk dua wanita hamil, dan bayi 14 bulan, maut, sementara empat warga Israel turut terbunuh akibat bedilan roket pejuang Palestin.

Pertempuran bermula Jumaat minggu lalu apabila askar rejim Zionis dan pejuang kumpulan Jihad Islam berbalas serangan bom dan roket. Dalam tempoh dua hari, ratusan roket ditembak ke arah Israel, dengan rejim Tel Aviv membalasnya menerusi serangan udara.

Bagaimanapun, gencatan senjata dicapai yang menamatkan pertempuran itu Isnin lalu.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata itu, rejim Zionis menarik balik larangan kepada nelayan Palestin, mulai semalam, kata rejim Israel dan kesatuan nelayan.

Nelayan Palestin sekarang ini boleh menangkap ikan sehingga sejauh 12 batu nautika di selatan pesisir pantai Semenanjung Gaza, dan enam batu nautika di utara, kata badan pentadbir tentera Israel di wilayah Palestin yang diduduki (COGAT).

Askar rejim Zionis biasanya menembak bot nelayan Palestin yang menangkap ikan melebihi kawasan yang dikhaskan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close