Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

AS tingkat ancaman serang Iran, tambah kekuatan tentera

Washington tambah peluru berpandu Patroit, kapal perang di Teluk

WASHINGTON, 6 Ramadan 1440H, Sabtu – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penghantaran tambahan peluru berpandu Patriot ke Timur Tengah, selepas perisikan negara itu melaporkan Iran dan proksinya mungkin merancang untuk mengancam tentera dan kepentingan AS di Teluk.

Pemangku Setiausaha Pertahanan AS, Patrick Shanahan meluluskan tambahan penghantaran itu, lapor media antarabangsa.

“Pemangku Setiausaha Pertahanan telah meluluskan pergerakan USS Arlington dan unit Patriot ke Pusat Pemerintah AS (CENTCOM) yang diminta awal minggu ini,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Stesen televisyen CNN melaporkan, perisik AS menunjukkan bahawa Iran memindahkan peluru berpandu balistik jarak dekat dan peluru berpandu cruise ke atas bot di Teluk Parsi.

Sistem peluru berpandu Patriot dihantar ke Pusat Pemerintah Amerika Syarikat (CENTCOM) di Timur Tengah. – Gambar EPA

Tentera AS percaya peluru berpandu cruise boleh dilancarkan dari bot kecil Iran, yang dikenali sebagai ‘dhows’. AS mendakwa bot kecil itu adalah aset pasukan laut Pengawal Revolusi Iran (IRGC), bukan bot tentera laut yang biasa.

Sistem pertahanan peluru berpandu Patriot mampu bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu balistik, cruise, dan pesawat. Ia pernah digunakan ketika AS menceroboh Iraq pada 2003. Sistem peluru berpandu itu kini ditempatkan di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada masa sama, Washington juga meluluskan penghantara kapal perang USS Arlington, yang mengangkut kenderaan marin, amfibia dan pesawat kecil, selain peluru berpandu Patriot, bagi menyertai angkatan kapal pengangkut USS Abraham Lincoln. Angkatan perang itu sudah melepasi Terusan Suez di Mesir, Khamis lalu, dan sedang belayar di Laut Merah, lapor CNN.

Awal minggu ini, pasukan pengebom udara AS, termasuk pesawat B-52, tiba di pangkalan udara AS di Al Udeid, Qatar, kata CENTCOM.

Jabatan Pertahanan AS dilaporkan terus memantau aktiviti, pergerakan tentera dan proksi Iran di Timur Tengah.

Iran menolak tuduhan AS dan menyifatkannya sebagai ‘perang psikologi’ yang direka untuk menakut-nakutkannya.

Pesawat pengebom jarak jauh B-52 turut dihantar ke Timur Tengah. – Gambar Reuters

Dalam peringatannya, Pentadbiran Maritim AS (MARAD) berkata, sejak awal Mei, terdapat peningkatan kemungkinan Iran dan proksinya di wilayah berkenaan untuk mengancam AS serta kepentingannya di rantau itu.

MARAD berkata, ancaman itu termasuk kemungkinan Tehran menutup laluan Selat Hormuz di Teluk Arab, di mana ianya menjadi antara laluan utama kapal minyak.

“Iran atau proksinya boleh bertindak menyasarkan kapal komersial, termasuk kapal minyak atau kapal tentera AS di Laut Merah atau di Teluk Parsi,” kata MARAD.

Ketegangan antara AS dan Iran memuncak sejak beberapa minggu lalu. Tahun lalu, AS enggan menerima Perjanjian Nuklear Iran 2015, sekali gus memberi masa selama setahun kepada negara dunia supaya berhenti daripada membeli minyak Iran atau berdepan sekatan AS.

Bulan lalu, Washington juga menyenaraikan IRGC sebagai kumpulan pengganas, sementara Iran membalasnya dengan mengisytiharkan tentera AS di Timur Tengah adalah kumpulan pengganas.

Pegawai tentera AS turut mendakwa mereka mengesan tanda-tanda bahawa Iran sedang menyediakan tindakan balas ketenteraan.

Agensi berita Isna pula memetik ulama Iran Ayatollah Tabatabai-Nejad berkata, angkatan kapal perang AS boleh dimusnahkan dengan hanya satu peluru berpandu.

“Jika mereka (AS) mengambil tindakan, mereka akan berdepan puluhan peluru berpandu,” katanya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close