Berita UtamaUtama

Pedulikan Najib, kata Tun Daim

Orang kanan Perdana Menteri tegur menteri takut turun padang

BANGI, 3 Ramadan 1440H, Rabu – Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menggesa kerajaan, terutama menteri, bekerjasama rapat dan mempercayai kakitangan awam, berhenti menari mengikut rentak kritikan, dan mengelak daripada bercakap yang tidak baik di belakang rakan mereka.

Dalam temu bual dengan South China Morning Post, beliau berkata, ditengah-tengah kebimbangan rakyat mengenai gaya pemerintahan kerajaan yang kononnya tidak bertenaga, menteri perlu meningkatkan tahap pelaksanaan janji yang dibuat ketika pilihan raya dahulu.

Jumaat ini genap setahun Pakatan Harapan – gabungan empat parti yang dikuasai DAP, membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR); Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); dan Parti Amanah Negara (PAN) – memerintah negara, selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu.

Blok itu yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berusia 93 tahun, mengejutkan dunia selepas menolak Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak keluar dari Putrajaya.

Daim, orang kuat Dr Mahathir, mengakui pentadbiran kerajaan dikecilkan susulan masalah kewangan yang ditinggalkan kerajaan sebelum itu.

Namun, salah satu punca menyebabkan usaha reformasi itu menjadi perlahan adalah kerana menteri tidak percaya kepada kakitangan awam era Najib, katanya.

“Sekarang anda adalah kerajaan. Apabila anda menjadi kerajaan, anda perlu mengarahkan. Anda tidak boleh melaksanakan dengan sendiri. Kakitangan awam yang melaksanakan untuk anda.

“Anda rancang polisi, kemudian anda kata kepada kakitangan awam “ambil alih”. Anda tidak percaya mereka, maka mereka duduk sahaja. Anda mesti bekerjasama dengan mereka. Tanpa mereka, anda mati,” katanya.

Daim juga menasihatkan menteri sekarang cara untuk berurusan dengan Najib – bekas perdana menteri yang kini berdepan 42 tuduhan jenayah dan penyalahgunaan kuasa dalam skandal kewangan terbesar dunia  1MDB.

Najib sejak kebelakangan ini begitu aktif mengkritik kerajaan. Setiap hari Najib akan memuat naik status terbaharu dalam laman sosialnya menyerang kerajaan di bawah Dr Mahathir, hingga sesetengah pihak berpendapat akaun Facebook, Twitter dan Instagramnya, diaktifkan secara profesional.

“Kenapa anda harus menari mengikut rentaknya? Apabila Najib menyerang saya mengenai ECRL, apa yang saya jawab kepadanya… apa yang saya kata?

“Saya ada fail bersama saya sekarang. Saya bertanya kepadanya, dia tidak menjawab. Kenapa anda perlu mendengar rentak mereka. Anda ada agenda sendiri. Anda laksanakan agenda anda.

“Anda tidak melaksanakannya, rakyat akan kata “apa yang telah anda buat?” Anda perlu lupakan dia (Najib),” katanya.

Daim berpendapat rakyat tidak puas hati dengan kerajaan yang baru berusia setahun ini, mungkin disebabkan kelemahan menteri untuk berkomunikasi, kerana kebanyakannya tidak pernah memegang jawatan eksekutif pada peringkat Persekutuan.

Katanya, tatkala rakyat bersabar untuk melakukan perubahan, menteri sepatutnya turun ke lapangan untuk menjelaskan kenapa usaha itu tidak boleh dilakukan.

“Pergi jumpa rakyat, terangkan kepada mereka. Berbanding anda menjauhkan diri, bimbang kerana tidak dapat melaksanakan janji dalam manifesto, enggan bertemu mereka, maka mereka akan menghentam anda.

“Saya telah pergi ke merata tempat. Rakyat kata OK. Mereka memahami. Saya bukan anggota mana-mana parti. Saya hanya suka berbual dengan orang ramai dan berkata lihat, inilah situasi sebenarnya. Beri sedikit lagi masa,” katanya.

Beliau juga berkata, setiap menteri perlu berpegang kepada keputusan Kabinet yang dibuat, walaupun mereka tidak setuju.

“Jangan bila di belakang kata, saya tidak bersetuju. Jika tak bersetuju letak jawatan. Tunjukkan bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang serius, kerajaan perpaduan. Anda boleh mempunyai perbezaan pendapat, anda boleh menyatakan pendapat anda. Tetapi hanya kerana anda mempunyai pandangan tidak bermakna anda betul.

“Apabila majoriti telah membuat keputusan, ini adalah demokrasi. Anda ikut keputusan majoriti. Demikianlah bagaimana kerajaan digerakkan,” katanya.

Pada masa sama, Daim mengulangi kenyataannya sebelum ini, bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau hasratnya untuk menjadi perdana menteri.

Katanya, beliau tidak mahu memberi komen panjang lebar mengenai politik, kerana beliau telah bersara.

“Saya tidak mahu mereka kata saya campur tangan. Jadi sata tidak mahu terbabit,” katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan Anwar, Daim menyifatkan veteran politik itu sebagai ‘rakannya’ yang sentiasa berhubung menerusi telefon dengannya.

“Saya bersedia melihat bagaimana beliau (Anwar) akan melaksanakan (tugas perdana menteri). Mereka telah membuat pilihan. Beliau perlu melakukannya. Sama ada dia seperti Dr Mahathir, saya tidak tahu. Ini adalah perbezaan personaliti sepenuhnya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close