Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Lapan maut serangan di tapak suci pengikut sufi Data Darbar

Taliban hantar e-mel mengaku bertanggungjawab serangan di Lahore

LAHORE, 3 Ramadan 1440H, Rabu – Sekurang-kurangnya lapan terbunuh, manakala lebih 25 lagi cedera apabila sebutir bom diletupkan berhampiran tapak suci bagi pengikut sufi Data Darbar di sini, pagi tadi.

Kumpulan bersenjata Taliban menerusi hantaran e-mel, mengaku bertanggungjawab melakukan serangan menyasarkan anggota polis yang mengawal tapak suci pengikut sufi itu.

“Lapan yang terbunuh itu, termasuk lima anggota polis,” kata Ketua Polis Lahore, Arif Nawaz, sambil menjelaskan bahawa letupan itu berlaku di pintu masuk dua tapak suci berkenaan, kira-kira jam 8.45 pagi.

Tapak suci pengikut Data Darbar itu pernah diserang pada 2010 lalu menyebabkan lebih 40 orang terbunuh.

Jurucakap pasukan penyelamat berkata, lima yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Mayo.

Polis juga tidak menolak kemungkinan serang dilakukan pengebom bunuh diri kerana ada individu yang menuju ke arah anggota polis.

“Dia memang menyasarkan anggota polis. Dia boleh sahaja melakukan serangan di pasar berdekatan jika mahu melakukan kerosakan teruk, tetapi dia menuju terus ke arah anggota polis,” kata penyiasat.

Data Darbar adalah salah satu tapak suci pengikut sufi yang dikenali ramai, dengan ribuan yang melawat kawasan di mana seorang ahli sufi, Abul Hassan Ali Hajveri dikebumikan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan wilayah berkenaan, Mian Aslam Iqbal mengingatkan umat Islam supaya berwaspada dengan keadaan sekeliling di masjid, terutama ketika solat Tarawih.

Pihak polis mengesahkan terdapat ancaman daripada kumpulan tertentu untuk melakukan huru-hara. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close