Berita UtamaUtama

2 maut dihempap kotak kurma

Pekerja Bangladesh sedang punggah kotak dalam gudang simpanan

BUKIT MERTAJAM, 1 Ramadan 1440H, Isnin – Identiti dua lelaki Bangladesh yang maut dihempap kayu dan timbunan kotak kurma dalam kejadian di sebuah gudang di Lorong Perindustrian Bukit Minyak, di sini hari ini, telah di kenal pasti.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, Ali Md Baker, 32, serta Rabbani Borhan Uddin, 26, dan masing-masing telah bekerja di gudang milik sebuah syarikat kurma itu sejak beberapa tahun lepas.

“Kejadian itu berlaku di sebuah gudang penyimpanan stok buah kurma dan barangan makanan untuk jualan serta pemasaran sebuah kilang pembekal kurma dan makanan yang diimport dari negara Timur Tengah.

“Hasil soal siasat ke atas pekerja di situ mendapati dua pekerja Bangladesh itu sedang melakukan kerja memunggah keluar kotak berisi kurma di bahagian palet bawah yang disusun secara meninggi sebelum tiba-tiba kayu palet serta kotak itu jatuh menghempap mereka,” katanya di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal kematian adalah berpunca daripada kemalangan di tempat kerja dan tiada sebarang elemen jenayah setakat ini.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa yang juga saksi kejadian dikenali sebagai Abdullah, 30, berkata kejadian berlaku sangat pantas dan pekerja di situ terdengar bunyi kuat sebelum mendapati dua mangsa telah dihempap timbunan kotak kurma serta kayu palet.

Katanya, ketika itu dia dan beberapa lagi pekerja juga sedang melakukan kerja dalam gudang berkenaan dan terkejut apabila melihat dua rakannya dihempap kotak kurma.

“Tiba-tiba bunyi kuat seperti benda jatuh sebelum kami terus bergegas untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati dua mangsa sudah berada di bawah timbunan kotak buah kurma dan kayu palet berkenaan.

“Kami terus menarik mereka keluar dari timbunan kotak berkenaan kerana cuba menyelamatkan mereka dan sebaik berjaya dikeluarkan dua rakan saya telah tidak sedarkan diri,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close