Berita Utama

Rasa diri kuat, UMNO dilanda penyakit angkuh dan sombong

Bergantung pada Najib untuk diangkat jadi idola walau terpalit kes mahkamah

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Syaaban 1443H, Isnin – UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini dilanda penyakit angkuh dan sombong ekoran merasakan diri mereka kuat susulan memiliki akar umbi yang ramai.

Namun pada hakikatnya rakyat sudah mula hilang keyakinan kepada kemampuan parti itu untuk menerajui negara ini, demikian dakwa Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

“Walaupun Johor ini adalah dikatakan kubu kuat UMNO namun calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini ramai.

“Ini jelas petanda bahawa rakyat Johor sudah bersedia menerima pilihan lain selain UMNO.

“Saya yakin, keadaan calon yang ramai sehingga ada kawasan bertembung lebih dari tiga penjuru adalah di luar jangkaan pemimpin UMNO pada peringkat awalnya.

“Sangkaan bahawa bangsa Johor sentiasa bersama BN kini dinafikan pada hari penamaan baru-baru ini. Ini membuatkan BN gementar.” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyasarkan kemenangan dua pertiga pada PRN Johor, tidak lama lagi.

Beliau yang juga Perdana Menteri melihat peluang kemenangan BN pada pilihan raya kali ini adalah cerah, namun gabungan parti itu tidak mahu hanya memperoleh majoriti mudah.

Mengulas lanjut, Haji Zamani mendakwa, dalam kempen PRN Johor lawan senada mengatakan UMNO adalah parti ego, tamak kuasa dan sombong.

“UMNO sebenarnya tiada pilihan, PRN Johor adalah pilihan mereka sendiri, jadi BN sangat bergantung kepada ketokohan Datuk Seri Najib untuk diangkat menjadi idola rakyat walaupun terpalit dengan kes mahkamah,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan rakyat Johor perlu menjadi pengundi bijak, selain memilih calon berdasarkan kewibawaan, integriti dan tinggi jiwa kepatuhannya kepada Perlembagaan.

“Mana-mana parti yang pemimpinnya bermasalah, berpolitik kerana inginkan kuasa dan kekayaan semata mata mesti disingkirkan.

“Pilihlah yang mampu membawa perubahan kepada negara kita,” katanya.

Pautan terdahulu;

PRN Johor: BN sasar menang dua pertiga

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button