Berita UtamaDuniaIstimewaUtama

Ampunkan anak saya kerana tidak puasa, kata wanita Uyghur

Umat Islam diajak memboikot produk yang ada label 'Made in China' sebagai tanda sokongan kepada muslim Uyghur yang dilarang berpuasa dan melaksanakan ibadah lain oleh kerajaan komunis China di Xinjiang

YINING (CHINA), 27 Syaaban 1440H, Jumaat – Ramadan bakal menjelang lagi. Di seluruh dunia, umat Islam akan mula berpuasa pada siang hari selama sebulan, dan tahun ini ia dijangka bermula Isnin ini.

Tetapi, bukan buat umat Islam di wilayah autonomi Xinjiang, selepas pemerintah komunis China menyifatkan amalan berpuasa sebagai ‘tanda-tanda ekstremisme’.

Melakukan sesuatu yang ada kaitan dengan agama Islam, sama ada secara persendirian atau terbuka, termasuk menyimpan janggut, memakai jilbab atau tudung kepala, bersolat, berpuasa atau menolak alkohol, dikategorikan sebagai ‘tanda-tanda ekstremisme’ di sesetengah kawasan.

Semua perbuatan itu jika dilakukan, akan mengheret umat Islam memasuki salah sebuah kem tahanan di Xinjiang, yang kerajaan China dakwa sebagai pusat transformasi pendidikan dan vokasional, yang kini dikatakan sudah dihuni sejuta umat Islam.

Di banyak daerah di Xinjiang, poster dan notis diletakkan di dalam laman sesawang kerajaan, menyatakan pelajar sekolah rendah dan menengah, serta ahli Parti Komunis, tidak dibenar berpuasa pada Ramadan.

Pengasingan dan pengawasan secara besar-besaran diperhebatkan sejak beberapa tahun kebelakangan, sedang amalan keagamaan dan budaya Islam telah lama tidak digalakkan di wilayah itu.

Seorang wanita Uyghur di Yining, barat laut Xinjiang, Gulzire berkata, ketika dia berada di sekolah tinggi pada awal tahun 2000, gurunya menggesa semua pelajar supaya tidak berpuasa kerana mereka memerlukan nutrisi yang baik bagi menghadapi peperiksaan awam.

Wanita Uyghur mengadakan tunjuk perasaan membantah diskriminasi agama dan budaya dikenakan pemerintah China ke atas mereka.

Tetapi, katanya, sesetengah pelajar tetap berpuasa dan kekal di dalam kelas ketika waktu rehat, daripada pulang atau makan di kantin.

“Untuk menghalang pelajar berpuasa, guru akan memeriksa setiap kelas. Saya juga pernah menunjukkan bekalan makanan yang dibawa kepada guru sebagai bukti tidak berpuasa,” katanya sambil menambah bahawa peraturan berkenaan tidak terlalu tegas ketika itu menyebabkan ada pelajar yang dapat berpuasa.

Larangan berpuasa ketika itu tidak dilaksanakan secara meluas di seluruh China. Apabila Gulzie meninggalkan Xinjiang untuk menyambung pendidikan di Shenzhen, bandar di selatan China, pada 2006, dia terkejut dengan perbezaan di situ.

Ketika bulan Ramadan, Universiti Shenzhen akan menyediakan bas membawa pelajar dari Xinjiang ke masjid berdekatan atau pusat Islam dan budaya.

Katanya, kebanyakan rakan universitinya terdiri daripada etnik majoriti Han juga berfikiran terbuka serta menyokong amalan Uyghur.

Namun, segala-galanya berubah pada musim panas 2009. Kekacauan antara etnik tercetus di Urumqi, ibu negeri Xinjiang, menyebabkan hampir 200 orang terbunuh.

Sebagai tindakan, kerajaan China meningkatkan kekuatan ketenteraan dan pasukan keselamatan di seluruh Xinjiang, sehingga mencetuskan lebih banyak ketegangan.

Ibu bapa Gulzire mula melarangnya ke masjid, walaupun di Shenzen. Bimbang akan dilabelkan sebagai keluarga kumpulan ekstremis atau pelampau, mereka juga berhenti bercakap dengannya mengenai al-Quran dan amalan lain menerusi telefon.

Perubahan juga berlaku di universiti tempat Gulzire belajar. Guru dari Urumqi dihantar ke universitinya. Dan, apabila bas disediakan untuk membawa pelajar ke masjid ketika Ramadan, guru terbabit memanggil mesyuarat dengan pemimpin universiti dan menghalang pelajar daripada pergi.

Gulzire percaya guru itu berasa bahawa aktiviti seumpama itu tidak dibenarkan di Xinjiang, dan oleh itu perlu dianggap sebagai ekstremis.

Sejak itu, situasi semakin merosot. Beberapa siri undang-undang diluluskan untuk mewajarkan diskriminasi agama dan etnik, dan tindakan keras yang semakin meningkat di Xinjiang.

Berdasarkan peraturan yang diluluskan pada 2017, orang ramai boleh dilabelkan sebagai ekstremis jika enggan menonton atau mendengar program televisyen awam, memakai burqa atau menyimpan janggut.

Pada April 2017, kerajaan komunis China menyiarkan senarai nama larangan yang ada kaitan dengan Islam bagi bayi baharu lahir, dan mengarahkan semua nama kanak-kanak di bawah usia 16 tahun ditukar jika ada sebutan berkaitan Islam.

Dan, tatkala Ramadan bakal tiba dua hari lagi, ramai umat Islam di Xinjiang telah dipisahkan daripada orang kesayangan mereka, sesetengahnya hilang, sementara yang lain diketahui berada di dalam kem tahanan.

Wartawan Radio Free Asia, Gulchehra Hoja (gambar), meninggalkan China 18 tahun lalu. Hanya setelah berpindah ke Amerika Syarikat (AS), beliau dapat berpuasa pada Ramadan sepenuhnya.

Mengingati keadaannya di Xinjiang sebelum itu, Hoja berkata, beliau masih ingat hanya orang tua seperti neneknya sahaja yang berpuasa dan berdoa memohon Allah mengampunkan anak-anaknya kerana tidak berpuasa.

“Sekarang adalah masa saya untuk berdoa kepada keluarga saya dan seluruh umat Islam Uyghur,” katanya.

Dan, menjelang Ramadan ini, kumpulan hak asasi manusia serta pertubuhan muslim menggesa umat Islam di AS serta seluruh dunia memboikot produk dari China kerana melarang muslim daripada berpuasa pada Ramadan.

“Orang ramai kata tak boleh boikot sebab semuanya ‘made in China’. Tapi, kita mempunyai kekuatan semangat spiritual untuk menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari Ramadan.

“Inilah masa untuk mengawal diri anda sendiri,” kata Pengarah Justic for All, Hena Zuberi, yang membantu mengasaskan kempen ‘Puasa dari China’ bulan ini.

Dilancarkan pada 19 April lalu oleh sebuah yayasan bagi membantu etnik Uyghur, kempen itu menyasarkan supaya umat Islam memikir semula untuk membeli barangan yang terdapat perkataan ‘Made in China’. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close