Berita UtamaKata PedangUtama

Pabila Mat Sabu berimam Syiah

Apa kata Mujahid selepas boss beliau solat berimamkan orang yang sudah diketahui berpegang kepada fahaman yang difatwakan sesat

TULAR dalam media sosial beberapa keping gambar Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan bersolat di sebuah masjid di Tehran – berimamkan, siapa lagi kalau bukan, imam Syiah.

Dan, ini adalah bukti nyata terbaharu dalam ibadah wajib, di mana Mat Sabu bersolat berimamkan orang Syiah. Sebelum ini, hanya ada gambar beliau bersama komuniti Syiah yang tular, yang tidak menunjukkan beliau mengikut cara peribadahan Syiah.

Lalu timbul persoalan – ‘Adakah beliau pengikut Syiah?’; Bagaimana akidahnya? Apa hukum solat di belakang imam Syiah? Adakah Kerajaan Malaysia sekarang ini sudah ditembusi aliran Syiah? Bukan dipertikaikan atas sejadah ada turbah dan batu Karbala, sebagaimana dijawab setiausaha akhbarnya, Amin Shah Iskandar.

Terbaharu, hari ini, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, memberitahu Ismaweb.net bahawa solat berimamkan orang Syiah, tidak sah.

Bagi Pedang, tak kisahlah atas sejadah itu ada turbah ke, batu ke, debu ke, cuma jangan ada najis. Atas tanah tanpa beralas apa-apa pun kita boleh solat dan sujud. Seumur hidup cuba lakukan sekali – solat atas tanah tanpa beralas.

Cuma yang menjadi persoalan sebagaimana Pedang kata tadi ialah hukum solat di belakang imam yang telah diketahui dia adalah orang Syiah, sedang Syiah adalah ajaran sesat tidak mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mat Sabu Syiah atau Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Jika Mat Sabu Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah tentu beliau tahu bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah memfatwakan Syiah adalah fahaman dan ajaran sesat. Jadi, kenapa berimamkan orang yang sesat? Kenapa mahu mencetuskan fitnah? Atau sememangnya telah lama mengikut kesesatan itu?

Apakah Mat Sabu tidak mengetahuinya atau beliau sememangnya Syiah, sementelahan pula beliau enggan menjawab sama ada beliau Syiah atau tidak. Cuma apa yang beliau katakan ialah beliau tidak terbabit dengan kegiatan fahaman Syiah. ‘Mengikuti kegiatan’ dan ‘mengikuti ajaran’ adalah dua perkara berbeza.

Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama orang Syiah menjalankan kegiatan kebajikan, tetapi ahli NGO itu bukan pengikut Syiah. Itulah perbezaannya.

“Itu saya tak perlu jawab. Saya melakukan ibadah korban di banyak tempat di Thailand pada setiap tahun dan itu adalah soal peribadi (lawatan) termasuk ke kem keamanan.

“”Itu dakwaan (beliau Syiah), saya pun boleh buat dakwaan saudari bercinta dengan siapa-siapa,” katanya berseloroh ketika menjawab soalan seorang pemberita wanita pada sidang akhbar di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, pada 28 Ogos 2018 lalu, ketika diminta mengulas kehadirannya di sebuah penempatan Syiah di Selatan Thailand.

Pedang imbas kembali kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Disember 2013 lalu yang mengesahkan Mat Sabu – ketika itu Timbalan Presiden PAS – terbabit dengan ajaran Syiah.

Ketua Setiausaha KDN ketika itu, Datuk Seri Abdul Rahim Radzi mendedahkan 10 bukti bahawa Mat Sabu adalah Syiah, termasuk membaca ‘selawat’ mengikut ajaran sesat itu.

Ulama terdahulu seperti Imam Malik, Imam Ahmad, Imam al-Qurtubi, al-Bukhari dan Imam al-Ghazali (ulama ini ditolak oleh Syiah) sudah terlebih awal menfatwakan golongan Syiah itu terkeluar daripada ajaran Islam sebenar.

“Asas fatwa ini cukup kuat kerana golongan Syiah bercanggah dari sudut akidah syariat dan akhlak. Rukun Islam Syiah tidak sama dengan Rukun Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti terkandung di dalam kitab rujukan mereka iaitu Usul al Kafi (jilid dua halaman 20).

“Di dalam kitab ‘Fashlul Khitab fi Tahrif Kitabi Rabbil Arbab’ menyatakan bahawa al-Quran yang ada telah diselewengkan. Seperti dinukilkan daripada kitab mereka ‘Ikmal ad Din’, orang yang tidak percaya dengan imam ghaib lebih kafir daripada iblis.

“Bahkan di dalam kitab mereka ‘Biharul Anwar’ mengatakan halal darah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim.

Bagi Pedang, tak timbul soal Menteri Pertahanan melawat Iran, kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah melawat Tehran dan bertemu beberapa pemimpin Syiah, pemimpin negara kita pun ada yang menyambut pemimpin Iran, namun tidak pula tular mereka solat berimamkan imam Syiah.

Sebaliknya, Mat Sabu dan beberapa pegawai kanan Kementerian Pertahanan telah bersolat berimamkan orang Syiah yang sesat. Logiknya, hanya pengikut Syiah akan solat berimamkan orang Syiah – orang yang mengetahui kesesatan Syiah tidak akan berbuat demikian. Jika berbuat demikian, seolah-olah mengakui bahawa amalan Syiah benar.

Perlu diingatkan bahawa Syiah meyakini bahawa al-Quran yang ada sekarang ini, termasuk yang digunakan umat Islam di Malaysia, telah diubah, ditambah atau dikurangi daripada yang seharusnya.

Ini kerana pengikut Syiah menyakini kata-kata Imam Syiah, Abu Abdillah bahawa al-Quran yang dibawa oleh Jibril kepada Nabi Muhammad ﷺ ada 17,000 ayat. Al-Quran orang Syiah yang berjumlah 17,000 ayat itu disebut Mushaf Fatimah.

Syiah juga meyakini bahawa golongan sahabat, sepeninggalan Rasulullah ﷺ, telah murtad kecuali beberapa orang sahaja seperti Al-Miqdad bin Al-Aswad, Abu Dzar Al-Ghifary dan Salman Al-Farisy.

Pengikut Syiah juga menggunakan senjata taqiyyah iaitu berbohong, dengan cara menampakkan sesuatu yang berbeza dengan yang sebenarnya, untuk mengaburi pandangan dan perhatian umat Islam yang berbeza fahaman dengan mereka.

Logiknya jika orang Syiah meyakini bahawa al-Quran yang ada sekarang telah diubah, ditambah atau dikurangi, bermakna mereka menolak al-Quran yang ada sekarang. Lalu, bolehkan kita berimamkan orang Syiah dalam solat, sedang mereka itu adalah ahli yang menolak al-Quran kita, atau Mat Sabu ikut Mushaf Fatimah.

Sementara isu sah atau tidak solat di belakang imam Syiah ini juga banyak diperkatakan. Ada yang kata, jika kaifiat solatnya sama, ayat al-Quran yang dibaca sama, boleh bersolat di belakang mereka. Bagi Pedang, boleh jika kita tidak tahu bahawa imam itu adalah Syiah.

Tetapi, jika kita tahu dan jelas mereka adalah Syiah, walaupun sama kaifiat solat, bacaan ayat al-Quran juga sama, sudah pasti tidak boleh. Ini kerana, seperti yang awal tadi Pedang kata, mereka menolak al-Quran yang kita guna sekarang. Mereka mengkufurkan sahabat Rasulullah ﷺ, mendustakan hadis, dan mengubah ayat al-Quran. Mana boleh kita berimamkan mereka.

Pedang ingin mengingatkan bahawa Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2 dan 3 Mei 1996, menetapkan umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam segi akidah, syariah dan akhlak selain memfatwakan Syiah bertentangan dengan ajaran itu.

Ia adalah keputusan bersama oleh jawatankuasa dan mufti berdasarkan penyelidikan yang dilakukan, bukannya terus melarangnya (fahaman Syiah). Banyak perkara yang dilakukan Syiah termasuk penghinaan terhadap Rasulullah ﷺ dan sahabat serta mengatakan imam maksum, adalah jelas bertentangan dengan Islam.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini disusuli dengan fatwa pengharaman Syiah di 13 negeri di Malaysia dan diwartakan serta boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pengikut Syiah.

Apa salahnya Syiah? Antara lain ialah:

A. Penyelewengan dari sudut akidah (imam adalah maksum; berpura-pura; Saidina Ali disamatarafkan dengan Allah; menghalalkan nikah mut’ah; khalifah diwasiatkan secara nas; mengatakan ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia; Muhamad bin Hassan al-Askari ialah Imam Mahdi al-Muntazar; mengkafirkan sahabat Rasulullah ﷺ; menambah syahadah; dan menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis mutawatir.)

B. Penyelewengan dari sudut syariat (menolak ijmak ulama; menolak Qias; mengamalkan nikah mut’ah; menolak ‘aul dan mendahulukan qurabah dari asobah dalam masalah pusaka; menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Muawiyah sebagai empat berhala Quraisy serta pengikut-pengikut adalah musuh Allah; dan hanya Ali menghimpun al-Quran dengan sempurna.)

C. Pelbagai Penyelewengan Umum (menziarahi kubur Saidina Hussain dapat ganjaran syurga; menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram; menghina Abu Bakar dan Umar serta dua isteri Rasulullah ﷺ iaitu Saidatina Aishah dan Hafsah; mengharuskan jamak sembahyang dalam semua hal; solat Dhuha adalah haram; dan Islam bukan syarat wajib haji)

Kita juga ingin tahu apa pendapat Naib Presiden PAN yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, apabila boss beliau sendiri solat di belakang imam Syiah.

Sudah pasti Mujahid gelisah sekarang dan mencari pelbagai maklumat untuk mempertahankan tindakan Mat Sabu. Demikian juga ahli-ahli PAN dan pertubuhan Islam yang bersekutu dengan mereka, pasti memberi pelbagai alasan membela perbuatan Mat Sabu.

Kata Pedang: Kepada orang Syiah, perbuatan Menteri Pertahanan dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan bersolat berimamkan orang Syiah, tidak bermaksud rakyat Malaysia mengiktiraf Syiah – mungkin kerajaan sekarang sahaja yang cuba mengiktiraf Syiah.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

P.S. Apa lagi Mat Sabu buat di Iran? Kahwin muta’ah? Bergurau saja Bang Mat. Lama tak jumpa. Untuk pengetahuan, rumah Mat Sabu dengan rumah Pedang di Seksyen 19, Shah Alam, tak jauh, satu kariah.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close