Berita UtamaIstimewaKolumnisUtama

Membina kehidupan baru atas asas peradaban kita sendiri

Apakah rupa bangsa peradaban kita? Ke mana noktah perjalanan ini?

SEMENJAK sekian lama kita dimomokkan dengan pelbagai rancangan pembangunan negara yang menjanjikan kepada kita sebuah negara maju. Tiada siapa yang bertanya apakah erti kemajuan itu kepada kehidupan kita.

Manusia rata-rata berusaha sekadar untuk hidup. Mereka tidak berpeluang untuk berfikir mengenai erti sebuah kehidupan yang bermakna.

Mereka sering didendangkan dengan cita-cita kekayaan, kemewahan, kesenangan, kemajuan dan sumpamanya, namun tiada siapa tahu adakah kalimah-kalimah itu akhirnya akan memberikan mereka erti kehidupan yang sebenar?

Keadaan menjadi lebih kusut apabila ramai di kalangan manusia, bahkan mungkin ada yang tidak pernah bertanya mengenai definisi kepada pengertian hidup yang sebenar. Persoalan menerjah ke fikiran, jadi untuk apa segala janji fatamorgana kemewahan ini? Ke mana agaknya noktah akhir perjalanan kehidupan kita ini?

Realiti ini menuntut kita berhenti sejenak untuk mengkaji daripada segala sumber yang boleh memberikan kita jawapan mengenai erti kehidupan yang ingin dicapai oleh seluruh manusia. Ternyata manusia sendiri tidak dapat menemui jawapan yang tepat.

Allah SWT memaparkan kepada kita pengalaman manusia sepanjang zaman dalam membina peradaban. Ia telah menceritakan kepada kita jatuh bangun setiap peradaban supaya kita ambil pelajaran.

Ternyata kita umat terpilih, segala pengalaman manusia yang terdahulu disajikan kepada kita, supaya kita dapat mencari erti kehidupan di sebalik peradaban.

Sebagai orang Islam, secara peribadi mereka dapat mencerap erti kehidupan daripada ajaran Islam yang mereka pelajari. Namun, mereka kini tidak lagi memiliki dunia mereka. Dunia mereka diatur oleh orang lain mengikut acuan yang bukan acuan mereka.

Kini kita bertanya kepada diri sendiri, dalam kita berbicara mengenai rancangan ekonomi, pembangunan dan kemajuan negara, apakah rupa bangsa peradaban yang kita maksudkan?

Adakah ia satu peradaban yang boleh membawa kita erti kehidupan yang kita cari atau ia hanya satu plot rancangan ekonomi yang memperdayakan kita supaya reda menjadi pengguna kepada peradaban lain demi kepentingan elite kapitalis antarabangsa?

Adakah rancangan pembangunan yang kita bicarakan akan menghasilkan peradaban yang akan memuliakan kita dan menjadikan kita gembira? Atau ia hanya mahu menyibukkan kita dengan agenda cari makan supaya jangan tanya mengenai kekayaan mereka?

Betapa banyaknya persoalan yang tidak dapat kita jawab, menjadikan kita hidup meraba-raba, hina-dina sepanjang masa di tanah air kita sendiri. Tidak tahu ke mana hala tuju hidup kita dan apa yang sedang diperlakukan ke atas diri kita. Janji-janji kemajuan itu menjadikan kita semakin hina dan dukacita.

Ini mengingatkan kita supaya insaf agar kita kembali ke pangkal jalan, membangun atas asas peradaban kita sendiri supaya dengan itu kita dapat menemui erti kehidupan dan matlamat kejadian kita.

Di sinilah sebenarnya langkah mula kita. Membina kehidupan baru atas asas peradaban sendiri.

Abdullah Zaik Abdul Rahman
Amir Ikatan Muslimin Malaysia

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close