Berita UtamaUtama

Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 Sabtu ini: UMMAH

Isu ancaman terhadap Islam makin teruk jika tak ditangani secara serius

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

AMPANG, 23 Syaaban 1440H, Isnin – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengajak rakyat tanpa mengira bangsa dan agama menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam ibu negara, Sabtu ini.

Pengarah himpunan berkenaan, Kamaruzaman Mohamad berkata, himpunan aman ini diadakan bagi menyatakan hasrat rakyat yang tidak selesa dan tergugat dengan tindakan pelbagai pihak terhadap kedaulatan Islam yang telah dijamin dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, antara isu yang akan dibangkitkan ketika himpunan termasuk ancaman terhadap kedaulatan Islam; Statut Rom; keadilan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim; isu pendidikan; serta cadangan mengugurkan perkataan agama dalam kad pengenalan.

“Ini isu yang sangat serius. Jika tidak ditangani dengan berhati-hati, ianya akan memberi kesan jangka panjang yang teruk kepada umat Islam,” katanya ketika sidang media di Pejabat Pertubuhan Muafakat Malaysia (Muafakat), di sini hari ini.

Pada masa sama, Timbalan Presiden UMMAH itu memaklumkan, himpunan yang bermula jam 1.45 hingga 4 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman itu bertemakan pakaian putih seperti himpunan ICERD 8 Disember lalu.

“Setakat ini banyak NGO serta beberapa parti politik termasuk PAS dan Pemuda UMNO menyatakan persetujuan dan komitmen untuk bersama kami dalam himpunan ini.

“Kami juga meminta sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang parti politik mahupun daripada pihak kerajaan yang merasa sensitif terhadap kedaulatan Islam dalam negara kita untuk hadir,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kelulusan permit perhimpunan itu, Kamaruzaman berkata, pihaknya akan berjumpa dengan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi esok untuk berbincang.

Beliau menegaskan sekiranya himpunan tanpa permit golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diberikan kebenaran berkumpul di Dataran Merdeka sebelum ini, maka NGO Islam juga sepatutnya diberikan hak lebih baik daripada mereka bagi menyatakan suara rakyat majoriti yang merasa tertekan dengan isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close