Berita UtamaUtama

Raja Muda Selangor tak terbabit program santai teh tarik

Istana kesal penggunaan gambar tanpa kebenaran rasmi

BANGI, 22 Syaaban 1440H, Ahad – Pejabat Raja Muda Selangor hari ini menafikan penglibatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam program ‘Santai Teh Tarik bersama 4 Putra Mahkota’ yang posternya tular di media sosial, baru-baru ini.

Setiausaha Sulit Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya kesal gambar Raja Muda Selangor digunakan tanpa kebenaran rasmi Istana Selangor.

“Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Pejabat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menafikan penglibatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam program Santai Teh Tarik bersama 4 Putra Mahkota seperti yang tertera di dalam poster yang tular baru-baru ini.

“Penggunaan gambar DYTM Raja Muda Selangor tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor juga amatlah dikesali,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Pejabat Raja Muda Selangor mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa pengesahan rasmi pihak istana.

Terdahulu, poster yang tular itu turut memaparkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim sebagai jemputan program.

Menurut poster, program berkenaan dijadualkan diadakan pada jam 5.30 petang esok di Mahkota Parade, Melaka.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close