Berita UtamaUtama

Kahwin lari, perkahwinan luar negara sah ikut situasi: Dr Maza

Pihak berkuasa agama kena mudahkan urusan, elak kerenah birokrasi

KANGAR, 21 Syaaban 1440H, Sabtu – Hukum kahwin lari atau melaksanakan perkahwinan di luar negara adalah sah mengikut beberapa keadaan, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau yang dikenali sebagai Dr Maza berkata, situasi itu membabitkan pasangan yang berada di luar negara dan mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keizinan wali sehingga terpaksa menggunakan wali hakim.

Katanya, hukum perkahwinan bagi pasangan yang sengaja ke luar negara untuk melangsungkan pernikahan dibahagikan kepada beberapa kategori.

Pertama, adalah perkahwinan yang dilangsungkan bagi mengelakkan diri daripada birokrasi pentadbiran setempat.

“Sekiranya pasangan terbabit ke luar negara bersama wali atau mendapat kebenaran wali maka status perkahwinan itu sah tanpa ragu.

“Jika pasangan adalah seorang janda, memadai hanya mendapat kebenaran walinya sahaja manakala saudara baharu boleh menggunakan wali hakim,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Maza berkata, bagi kategori kedua adalah perkahwinan yang melarikan diri daripada wali.

Katanya, sekiranya wanita itu adalah anak dara dan walinya enggan mewalikan perkahwinannya tanpa sebab yang munasabah, perkahwinan adalah sah dengan syarat dia dapat membuktikan keengganan wali berkenaan.

“Jika tidak perkahwinannya dikira fasid dan hendaklah mengulangi akad perkahwinan itu dengan keizinan wali. Sekiranya mempunyai zuriat dalam tempoh itu, nasabnya dikira sabit.

“Sekiranya wali membantah perkahwinan itu kerana pasangan secara jelas tidak sekufu, dan ia dipersetujui pihak berkuasa agama, maka perkahwinannya terbubar,” katanya.

Selain itu, beliau juga menasihatkan pihak berkuasa agama negeri memudahkan urusan perkahwinan dengan mengelakkan kerenah birokrasi yang membebankan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close