Berita UtamaUtama

Tambahan RM42 juta bantuan untuk pekebun kecil Sabah

70,000 pekebun kecil getah terima RM600 bantuan musim tengkujuh

PUTRAJAYA, 20 Syaaban 1440H, Jumaat – Sejumlah 70,000 pekebun kecil getah di Sabah akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 menerusi peruntukan tambahan kira-kira RM42 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pembayaran bantuan tersebut akan diselaras oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sabah dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

“Peruntukan tambahan ini adalah hasil keprihatinan kerajaan Persekutuan untuk membantu pekebun kecil Sabah yang sekarang berdepan dengan harga getah yang rendah.

“LIGS telah membuat rayuan bahawa takrifan pekebun kecil di Sabah seharusnya merangkumi pengusaha getah dengan keluasan kebun enam hektar dan ke bawah yang melibatkan lebih 70,000 pekebun getah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini telah menyediakan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan untuk tiga bulan (November 2018, Disember 2018 dan Januari 2019) kepada pekebun kecil getah, iaitu pengusaha getah dengan keluasan kebun 2.5 hektar dan ke bawah di seluruh negara melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), katanya.

Bantuan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM165 juta dan membabitkan hampir 275,000 pekebun kecil termasuk 6,000 pekebun kecil di Sabah yang berdaftar dengan RISDA, katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close