Berita UtamaUtama

PRK Sandakan: Jangan guna aset kerajaan untuk raih undi

Jamuan makan, hadiah untuk pengaruh pengundi adalah salah: SPR

BANGI, 20 Syaaban 1440H, Jumaat – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan calon atau parti supaya tidak menyalahgunakan aset dan kuasa kerajaan untuk meraih undi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada di dalam bentuk kewangan atau wang untuk mempengaruhi pengundi memberikan mahu pun tidak memberikan undi, adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, sebarang tindakan atau kenyataan yang menganggu pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga adalah satu kesalahan di bawah akta sama.

“Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen pada PRK Parlimen Sandakan diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen yang bermula selepas pengisytiharan calon pada 27 April 2019 sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei 2019.

“Calon-calon dan juga pihak yang terbabit di dalam aktiviti berkempen hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, semua arahan pihak yang berkuasa, terutama daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terbabit di dalam aktiviti kempen, disarankan untuk melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Sehubungan dengan ini, apa-apa perbuatan yang membabitkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM.

“Manakala bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi, termasuklah melalui saluran media sosial.

“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close