Tarbiyyah

Peranan isteri imbangi rutin rumah tangga di bulan Ramadan

Rancang menu seimbang dan bersih tanpa berlaku pembaziran

KURANG 10 hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadan al Mubarak. Nikmat dan pahala yang berganda-ganda merupakan kegembiraan besar bagi orang-orang mukmin.

Kerahmatan Ramadan turut menyinari institusi kekeluargaan yang inginkan darjat taqwa seperti yang diwar-warkan dalam kalamNya. Dalam menyusun kerutinan sebuah rumah tangga, pastinya isteri memainkan peranan penting merancang sebuah perjalanan rumah tangga Ramadan agar setiap isi anggota keluarga dapat mencapai objektif terbaik daripada madrasah Ramadan.

Peranan seorang isteri amat penting bagi memenangkan kualiti Ramadan dalam kehidupan seluruh anggota keluarganya. Berikut adalah beberapa panduan yang boleh dipraktikkan oleh para isteri :

1. Mengingatkan suami dan anak-anak kemunculan Ramadan tidak lama lagi dan menyedarkan mereka agar segera mempersiapkan diri, mental, rohani dan jasmani untuk menghadapi Ramadan. Persediaan ini penting kerana Ramadan akan mengubah rutin harian seseorang;

2. Mengajar anak-anak untuk menyambut Ramadan dengan hati yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah seperti buruk sangka, dengki, khianat dan lain-lain;

3. Menyusun jadual berbuka puasa dengan bijak. Selain berbuka bersama keluarga, berbuka puasa juga boleh disusun bersama ahli qariah di masjid, bersama jiran dan lain-lain;

4. Menyusun jadual keluarga untuk solat terawih di masjid-masjid atau surau juga adalah baik, mengerjakan terawih secara berjemaah akan memotivasikan seseorang untuk terus istiqamah mengerjakan terawih. Namun ibu-ibu yang memiliki anak kecil tidak digalakkan ke masjid kerana dikhuatiri mengganggu jamaah lain;

5. Merancang menu yang baik, memasak daripada hati yang penuh dengan kasih sayang, bersih dan seimbang untuk santapan ahli keluarga. Pastikan kuantiti makanan kurang daripada bulan-bulan lain dan elakkan daripada berlakunya pembaziran. Pembelian menu berbuka di bazar-bazar Ramadan hendaklah dibeli sekadar perlu dan bukan mengikut nafsu;

6. Memantau amal anak-anak dari sudut tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bersedekah dan lain-lain di samping menyedarkan mereka gandaan ganjaran yang Allah s.w.t beri sepanjang melalui Ramadan. Menyediakan semakan mutabaah amal untuk setiap anak adalah amat baik untuk memastikan rutin harian anak berkualiti dengan amal-amal yang baik;

7. Keuzuran syarie seorang isteri yang didatangi haid tidak menghalangnya untuk beramal. Perbanyakkan zikir, mengulangi hafalan al-Quran, bersedekah, mendengar orang lain membaca al-Quran adalah amalan yang harus dilakukan semasa kedatangan haid;

8. Selain mengikuti tadarus bersama komuniti setempat, tadarus bersama keluarga sendiri hendaklah diwujudkan. Ramadan adalah bulan terbaik untuk mengesani kelemahan anak-anak dalam bacaan al-Quran lantas memperbetulkan bacaan tersebut;

9. Isteri berperanan besar mengajar anak-anak yang mula bertatih untuk berpuasa. Selain kesabaran, tips – tips penting perlu dikuasai oleh seorang ibu;

10. Memastikan 80 peratus persiapan menyambut Aidilfitri dilakukan sebelum munculnya satu Ramadan. Jika banyak persiapan yang tertangguh maka akan terganggulah proses mengejar Lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir;

11. Membeli bahan-bahan mentah tahan lama seperti ikan bilis, telur, bawang, ikan masin, gula, teh dan lain-lain. Minda dan fizikal akan dapat di kosongkan dengan aktiviti tersebut dan jiwa akan lebih fokus beribadah kepada Allah. Manakala, bahan-bahan mentah basah boleh dibeli secara mingguan;

12. Mengajak seluruh ahli keluarga bermunajat terutama pada sepuluh akhir Ramadan. Beribadah dan beriktikaf di masjid melibatkan seluruh ahli keluarga adalah amat baik jika mempunyai ruang dan peluang agar sama-sama dapat bertemu dengan lailatulqadar;

13. Isteri perlu bangun sahur lebih awal daripada ahli keluarga lain. Jika terbangun bersama ahli keluarga atau lewat, isteri hanya akan sibuk di dapur menyiapkan sahur tanpa sempat bertahajud, berbeza dengan suami yang boleh bertahajud sementara menunggu isteri menyiapkan juadah sahur.

Isteri adalah sayap kanan suami membantu, mengurus dan merancang perjalanan sebuah rumah tangga. Perancangan ini penting untuk memastikan semua anggota keluarga dapat meraih kualiti Ramadan semaksima mungkin.

Mudah-mudahan ahli keluarga kita akan tersenarai pendek dalam sof ‘la’allakum tattaqun’ pada promosi Ramadhan tahun ini. Amen ya Rab bal ‘alamin.

*Ramadan Kareem*

Dr Ustazah Hjh Nornajwa Ghazali
Pensyarah Pendidikan Islam dan Moral, IPG Kampus Ipoh.
Ketua wanita Isma Ipoh

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close