Uncategorized

PRK Sandakan: Ikut peraturan, arahan hari penamaan calon

SPR larang guna alat muzik, pembesar suara bagi tujuan diayah politik

BANGI, 19 Syaaban 1440H, Khamis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua calon dan parti yang terbabit pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, etika serta arahan yang dikeluarkan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berhasrat supaya proses penamaan calon pada Sabtu ini, berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak baik, khususnya yang boleh menganggu ketenteraman awam.

Beliau berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) mengenai larangan ketika hari penamaan calon.

“Antara lainnya, penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan dan vesel tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan.

“Orang ramai serta penyokong-penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar menegaskan, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sepatutnya jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen berkenaan.

“Parti-parti politik yang terlibat bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan di dalam suasana yang selesa dan aman,” katanya.

Proses penamaan calon untuk PRK Parlimen Sandakan akan diadakan pada Sabtu ini di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan, antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi.

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Seramai 39,856 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 28 Mac lalu, terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close