PendapatUtama

‘E-games’: Apakah YB Syed Saddiq hanya kisahkan duit?

Menteri tunjukkan kerajaan seperti jadi hamba puaskan nafsu rakyat

1. PADA 21 April 2019, YB Syed Saddiq memberi sebuah kenyataan di Penang Youth Festival menyebut bahawa penganjuran ‘e-games’ adalah menguntungkan negara kerana penganjuran ‘e-games’ mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit tanpa pengeluaran dana oleh kerajaan.

Demi masa depan anak muda, di sini saya ingin memberi sebuah teguran bagi YB Menteri; ‘e-games’ tidak akan membawa keuntungan bagi membentuk jati diri pemuda dan pemudi Malaysia.

Hari ini, kadar ‘anxiety’ dan ‘depression’ di dunia semakin meningkat dengan kewujudan media sosial dan hiburan yang berteraskan platform alam maya. Ironinya manusia semakin ‘disconnected’ di alam realiti walaupun kita semakin ‘connected’ di alam maya.

2. Jika tuan YB membaca kajian Johann Hari dalam bukunya “Lost Connections”, YB akan faham bahawa permainan video seperti ‘e-games’ hanya adalah satu pengganti palsu bagi kehidupan yang bermakna. Anak-anak muda hari ini melekat pada permainan video daripada satu permainan kepada yang lain, bukannya kerana mereka hendak bersukan, tetapi mereka mencari perkara untuk mengisi ruang yang dibiarkan kosong di dalam fikiran mereka.

Johann menulis bagaimana permainan video hari ini mempunyai elemen yang dapat menipu anak-anak muda; memberi mereka satu kepuasan yang palsu, sambil mereka menghabiskan berjam-jam di hadapan komputer. Melalui ‘e-games’, anak-anak muda mendapat ganti palsu bagi mengejar kejayaan melalui “level-level” di dalam ‘game’, mendapat ganti bagi rakan-rakan sebenar melalui rakan-rakan di alam maya yang tidak pernah bersemuka, dan mendapat ganti palsu bagi satu perasaan puas yang hanya dapat diperolehi apabila seseorang bekerja keras menjadi manusia yang lebih baik untuk menyumbang kepada masyarakat.

Hal-hal ini tidak sesekali mampu menggantikan alam realiti. Atas sebab itu anak-anak muda ini tidak akan mampu berasa cukup selagi mereka masih duduk di hadapan computer. Mereka sentiasa bergantung kepada ‘e-games’ untuk merasa puas, membazirkan masa yang banyak yang boleh digunakan untuk aktiviti yang jauh lebih berkualiti untuk kesihatan mental mereka.

3. Kesemua keinginan untuk mengejar kejayaan, membina hubungan, dan menyumbang kepada masyarakat adalah naluri manusia yang asasi, sebahagian daripada asas bagi membentuk peradaban. Namun sayang jika naluri asasi ini disalurkan kepada sebuah permainan di hadapan skrin.

Dianggarkan pada 2018, permainan League of Legends mencecah 100 juta pemain aktif setiap bulan di seluruh dunia. Cuba YB bayangkan sekiranya 100 juta anak-anak muda ini dapat keluar mencari makna dalam hidup melalui sumbangan mereka yang sebenar dalam masyarakat, menggunakan masa untuk aktiviti kesukarelawanan, atau membina profil kerjaya masing-masing demi membangun ummah, bukan menyumbang melalui duit yang dikeluarkan untuk membeli PC, “battle pass” atau segala aksesori ‘game’ yang hanya menguntungkan syarikat korporat dan merugikan mak ayah mereka.

Ramai orang berbicara seolah-olah ‘e-games’ akan menguntungkan semua pemain kerana ia diiktiraf sebagai sebuah kerjaya. Hakikatnya, daripada jutaan pemain, hanya ada sebilangan kecil yang benar-benar kaya melalui pertandingan yang dianjurkan.

Itu pun cubalah kita fikirkan daripada mana wang tersebut datang jika tidak daripada jutaan pemain yang menghabiskan wang untuk aksesori permainan serta “in-game purchases”. Pemenang-pemenang pula adalah terdiri daripada orang yang menghabiskan berbelas jam sehari di hadapan skrin untuk bertanding.

4. Tidak pelik kenapa syarikat gergasi seperti Youtube juga memberi pelaburan yang banyak kepada industri ‘e-games’, supaya anak-anak muda terus melekat mengikuti setiap langkah perkembangan pemain kegemaran mereka di Youtube. Saya jamin, lebih ramai anak muda yang kenal pemain-pemain ‘e-games’ berbanding imam surau mereka sendiri.
 
Jika YB hanya melihat kepada keuntungan kewangan hasil pelaburan syarikat-syarikat game, maknanya YB sebenarnya tidak kisah tentang pembinaan jati diri dan modal insan yang jauh lebih penting. YB hanya kisahkan duit dan duit. Jika hanya itu adalah kamus KBS, maka rosaklah masa depan anak muda.

5. Hari ini YB menunjukkan bahawa peranan kerajaan adalah untuk menjadi hamba bagi memuaskan nafsu rakyat. Segala yang rakyat mahukan, YB akan tunaikan supaya rakyat puas dan bergembira, dan kemudian mengundi YB sekali lagi pada pilihan raya yang akan datang. Jika ini adalah cara pandang YB, ternyata YB belum faham akan tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin.

Saya ingin terangkan kepada YB mengenai konsep ‘paternalism’ dalam pentadbiran negara. Pentadbir bukan sahaja harus menjadi pendengar yang baik, tetapi juga harus menjadi ibu dan ayah yang memandu sebuah keluarga. Ibu dan ayah yang baik akan faham bahawa tidak semua perkara yang anak-anak mahukan adalah baik untuk mereka.

Ada banyak perkara yang pahit ditelan anak-anak, terpaksa dilakukan oleh ibu dan ayah. Segala teriakan dan herdikan harus ditelan demi masa depan anak-anak. Maka pemimpinlah yang memainkan peranan ibu ayah dalam pentadbiran; melaksanakan dasar-dasar yang benar-benar membawa kebaikan demi masa depan rakyat dan negara, bukan sekadar mencari ruang untuk memuaskan nafsu pengundi, demi sedikit keuntungan material.

6. Adalah amat dangkal sekali jika satu-satunya hujah untuk melaburkan pada ‘e-games’ adalah supaya kita tidak ketinggalan dengan negara-negara lain. Apakah beza pemuda Islam kita jika menteri hanya mahu mengikut jejak langkah negara barat? Nak ketinggalan apa YB? Ketinggalan menghabiskan masa di hadapan komputer? Ketinggalan dalam kadar depresi yang tinggi? Atau nak lahirkan lebih ramai pemain yang menghabiskan duit menguntungkan syarikat-syarikat gergasi?

Amatlah malang jika seorang pemimpin beragama Islam tidak mahu mencontohi Sultan Murad dalam melahirkan pemuda yang matang dan mampu memimpin semenjak kecil seperti Al-Fateh.

7. Saya mengajak YB untuk beristighfar dan memperbetulkan kembali kompas yang menjadi pandu arah bagi dasar-dasar yang YB ingin perkenalkan. Saya mengesyorkan satu fokus diberikan bagi memperbetulkan fahaman anak muda tentang makna kehidupan di luar skrin yang lebih luas, serta membantu anak-anak muda yang ketagih dengan permainan game untuk keluar daripada tabiat yang memakan produktiviti berjam-jam dalam sehari. Senarai masalah yang kita punyai di dunia Islam amatlah panjang.

Alangkah sayangnya jika KBS turut menjadi penyumbang bagi senarai tersebut.

Bincanglah bersama staf-staf KBS, apa sebenarnya rupa paras anak muda yang ingin kita bangunkan untuk Malaysia? Apakah jati diri mereka dan apakah beza anak-anak muda Malaysia, sebuah negara Islam jika dibandingkan dengan negara lain? Adakah kita hanya mahu mengikut jejak langkah negara-negara yang punyai kadar ‘lonely death’ yang tinggi seperti Korea dan Jepun, atau mungkin kita mahu bersikap berani menongkah arus, mengikuti contoh peradaban Islam yang telah berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang matang dari aspek rohani dan pemikiran pada suatu ketika dahulu?

“Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawabannya (terhadap apa yang dipimpin)…” (HR Bukhari)

Yusri Jamaluddin

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Anda juga meminati

Close
Back to top button
Close