Berita Utama

PRU DUN Sarawak: 1,866 pusat mengundi dibuka esok

Tempoh rasmi kempen berarkhir jam 11.59 malam ini: SPR

BANGI, 12 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Sebanyak 1,866 pusat mengundi dan 3,555 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-12, esok.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap semua 1,213,769 pengundi dapat menjalankan tanggungjawab untuk keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari  jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau mengikut waktu yang telah diwartakan sekiranya tidak dapat keluar mengundi pada masa digalakkan.

“SPR juga mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU DUN Sarawak ke-12 esok.

“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan pengundi supaya wajib memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan, merekodkan kehadiran dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, SPR turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya.

SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi, dan tindakan akan diambil jika terdapat mana-mana pihak melanggarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button