Berita UtamaDunia

Hamas mampu lancar ratusan peluru berpandu dalam seminit

Penduduk Palestin sanggup mati syahid demi pertahan al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 15 Syawal 1442H, Khamis – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mampu melancarkan ratusan peluru berpandu dengan kelajuan 200 kilometer per minit (km/min), menuju ke wilayah yang diduduki Israel .

Pemimpinnya, Yahya Sinwar berkata, serangan bagi mempertahankan Gaza sebelum ini hanyalah sebahagian kecil daripada keupayaannya.

Terdahulu, gencatan senjata antara Israel dan Palestin yang dikelola oleh Mesir mengakhiri peperangan selama 11 hari.

Ia sangat signifikan kepada penduduk Palestin kerana negara pengganas Israel telah mengaku kalah kepada Hamas.

Gencatan senjata tanpa syarat itu juga menamatkan peperangan yang disifatkan sebagai paling dahsyat pernah berlaku di Gaza sejak tahun 2014.

Yahya berkata, setelah gencatan senjata dimeterai, Hamas membatalkan rancangan sayap tenteranya, Briged Al-Qassam untuk melancarkan 300 peluru berpandu di wilayah yang diduduki.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa terowong digunakan Hamas telah musnah akibat dibom oleh rejim pengganas Israel.

Terowong berkenaan digunakan bagi memindahkan barang bantuan kemanusiaan ke wilayah yang disekat.

“Kami mempunyai terowong lebih dari 500 km di Semenanjung Gaza dan kerosakannya tidak lebih daripada lima peratus,” katanya.

Pada masa sama, Yahya berkata, penduduk Palestin tidak akan berhenti menentang pihak musuh sehingga mencapai kemenangan.

“Seluruh Timur Tengah akan berubah dan musuh Zionis akan melihat rakyat kami (Palestin) bangkit untuk menang di Al-Aqsa dan Al-Quds (Baitulmaqdis),” katanya.

Katanya, peperangan juga bakal menyaksikan 10,000 orang yang bersedia untuk mati syahid bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button