Berita UtamaUtama

Tiga pihak setuju kerjasama bangunkan tamadun Islam

10 prinsip Islam Hadhari diterap dalam pendidikan, penyelidikan

NAKHON SI THAMMARAT, 18 Syaaban 1440H, Rabu – Hadhari Global Network (HGN), Walailak University dan Majlis Agama Islam Wilayah Nakhon Si Thammarat bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam membangunkan ketamadunan Islam dan memupuk prinsip kemodenan, kebajikan sosial serta keamanan bersama.

Semua pihak berkenaan bersetuju untuk menggalakkan dialog, persefahaman dan toleransi di kalangan orang ramai dan kebudayaan dunia, selaras dengan kepentingan bersama, bagi menyatukan cendekiawan serta agensi yang berkaitan dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

HGN menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Pengajian Islam dan Pembangunan Komuniti Islam bagi Projek Integrasi Keamanan Sosial Walailak University dan Majlis Agama Islam Nakhon Si Thammarat di sini, semalam.

Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi), Datuk Jefridin Atan menandatangani LOI itu bagi pihak HGN, manakala Ketua Projek Integrasi Keamanan Sosial Pengajian Islam dan Pembangunan Kominiti Muslim Universiti Walailak, Abdul Razak Panaemalae mewakili universiti berkenaan, dan Majlis Agama Islam Nakhon Si Thammarat diwakili presidennya, Loh Saiwaree.

Majlis disaksikan oleh Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu Abdul Razak menyambut baik kerjasama dalam pertukaran akademik bidang pendidikan dan penyelidikan berasaskan kepada 10 prinsip Islam Hadhari.

“Walailak University akan berusaha sebaiknya untuk mengukuhkan kerjasama ini. Kami akan menganjurkan seminar antarabangsa, forum dan persidangan yang berkaitan dengan Islam Hadhari di samping memupuk pemodenan, kebajikan sosial dan keamanan bersama,” katanya kepada Bernama.

Loh Saiwaree pula berkata, Majlis Agama Islam Nakhon Si Thammarat akan terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan pemodenan di kalangan semua imam di Thailand.

Jefridin berkata, HGN adalah satu platform bagi menjadikan prinsip-prinsip Islam Hadhari sebagai agenda utama dalam menganjurkan pelbagai aktiviti, supaya prinsip ini boleh dipupuk dalam usaha menjadikan ia relevan sepanjang masa.

Beliau berkata, tiga prinsip utama dijadikan panduan di dalam HGN iaitu kebajikan, kesederhanaan, dan keamanan sejagat perlu diterapkan dalam hubungan dengan pihak kerajaan, organisasi bukan kerajaan, komuniti dan juga universiti.

“Semoga dengan kesinambungan usaha seperti ini kita dapat melahirkan masyarakat atau modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan Ummah dan negara berdasarkan acuan prinsip Islam Hadhari.

“Dengan adanya LOI ini, HGN berharap pembangunan ketamdunan Islam dapat dipergiatkan khususnya untuk kebajikan, kesederhanaan dan keamanan sejagat,” katanya.

HGN di bawah Legasi dibangunkan pada tahun 2017, sebagai rangkaian pelbagai agensi serta cendekiawan, dalam menjunjung bidang ketamadunan Islam bagi memupuk prinsip-prinsip pemodenan, kebakiakan sosial dan keamanan.

Tun Abdullah sebelum ini mengetengahkan konsep Islam Hadhari sebagai satu pendekatan bagi memupuk ketamadunan Islam progresif yang dibina atas nilai-nilai murni dan realiti Islam.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close