Berita UtamaUtama

Syor rombak Akta Perikanan elak pencerobohan nelayan asing

Menteri kena lancar strategi tegas, jelas tangani situasi dengan Vietnam

BANGI, 18 Syaaban 1440H, Rabu – Kerajaan dicadangkan supaya merombak serta memperbaiki akta sedia ada berkenaan perikanan, bagi memperkenalkan undang-undang yang lebih berat terhadap para pelaku yang menceroboh perairan pantai timur semenanjung negara terutamanya di Terengganu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, rata-rata nelayan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kelemahan penguatkuasaan maritim yang dilaksanakan seperti Jabatan Perikanan, Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

“Dalam tempoh kebelakangan ini, isu pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari negara Vietnam heboh diperkatakan oleh komuniti nelayan di pantai timur. Ia dikatakan menggugat ketenteraman dan kesejahteraan komuniti nelayan tempatan. ​

“Permasalahan yang timbul ini bukanlah didorong oleh penguatkuasaan yang lemah semata-mata, hakikatnya banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi dan diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan yang dilaksanakan sebelum ini terhadap pencerobohan nelayan negara asing boleh dikatakan memuaskan dan sepadan dengan keberadaan aset-aset penguat kuasa di laut ini.

Ia termasuk bantuan daripada pihak tentera menerusi Tentera Laut Diraja Malaysia yang aktif menjalankan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kata Amzad.

Pun begitu, Amzad berkata, lebih banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa bagi menangani isu pencerobohan ini.

“Salah satunya adalah merombak serta memperbaiki akta sedia ada berkaitan perikanan, di samping memperkenalkan undang-undang yang lebih berat kepada para pelaku yang menceroboh dan melanggar undang-undang Malaysia.

​“Isu ini juga berkait soal kedaulatan negara. Saya berpendapat perkara ini boleh ditangani dengan mengambil kira semangat ASEAN dan hubungan diplomatik dua buah negara yang berdaulat.

“Tindakan seperti mengeluarkan nota bantahan diplomatik menerusi Kementerian Luar Negeri, menganjurkan forum-forum khas, mengadakan mesyuarat working group, dan menjalinkan perkongsian maklumat perisikan antara agensi penguat kuasa dua negara adalah dipercayai dapat menangani isu pencerobohan bot nelayan Vietnam ini secara holistik,” katanya.

​Pada masa sama, Amzad berpandangan bahawa menteri-menteri yang diberi mandat dalam hal ehwal perikanan dan maritim harus berpandangan lebih jauh dan realisitik untuk menangani isu Pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) yang juga berkait rapat dengan isu Illegal, Unreported, Unregulated Fishing (IUU).

“Inilah masanya untuk para menteri melancarkan strategi yang tegas dan jelas dalam situasi Vietnam yang telah pun diberi kad kuning oleh Kesatuan Eropah supaya suara dan tindakan Malaysia memerangi pencerobohan nelayan-nelayan asing didengar, dilayan dan mendapat respon positif daripada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close