Berita UtamaDuniaIstimewaTimur TengahUtama

Saudi pancung 37 ‘pengganas’

Seorang individu dipancung dan badannya kemudian digantung

JEDDAH, 18 Syaaban 1440H, Rabu – Arab Saudi sudah melaksanakan hukuman pancung ke atas 37 individu yang ada kaitan dengan kegiatan pengganas, semalam, kata Kementerian Dalam Negerinya.

Tindakan itu adalah yang terbesar membabitkan sejumlah pesalah yang dipancung dalam masa sehari sejak tiga tahun lalu.

“Hukuman mati telah dilaksanakan… ke atas sejumlah pesalah yang mengamalkan ideologi ekstrem pengganas, dan menubuhkan sel pengganas untuk menganggu keselamatan, selain menyebabkan panik serta mencetuskan perselisihan faham antara pengikut ajaran Islam,” kata kementerian itu.

Hukuman pancung itu dilaksanakan di Riyadh, Makkah, Madinah dan di wilayah Qassim, lapor agensi berita Arab Saudi, SPA. Semua pesalah yang menjalani hukuman mati itu adalah rakyat Arab Saudi.

SPA juga melaporkan seorang lelaki, Khaled Abdelkarim Saleh al-Touijri, digantung. Biasanya, pesalah akan dipancung terlebih dahulu, dan kemudian badannya akan digantung untuk beberapa waktu di khalayak.

Hukuman pancung dan kemudian digantung hanya dikhaskan kepada jenayah paling serius dilakukan, dan Arab Saudi mula melaksanakannya sejak 2013 lalu.

Mengikut data yang direkodkan SPA, sekurang-kurangnya 100 individu dari pelbagai negara menjalani hukuman pancung di Arab Saudi, sejak awal tahun ini.

Jumlah paling besar pernah dipancung dalam tempoh sehari ialah pada 2 Januari 2016, membabitkan 47 individu yang didapati melakukan kegiatan pengganas.

Sementara itu, Amnesty International mengecam hukuman yang dilaksanakan ke atas 37 individu berkenaan, manakala satu kumpulan hak asasi berpangkalan di United Kingdom – Reprieve – mendakwa lima daripada yang dihukum adalah pelanggan mereka. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close