Berita UtamaUtama

Proton Persona, Iriz 2019 dilancar

Harga 'kereta boleh bercakap' antara RM36,700 hingga RM56,600

KUALA LUMPUR, 18 Syaaban 1440H, Rabu – Proton Holdings Bhd berharap pelancaran model Iriz dan Persona yang dipertingkat 2019 akan menjadi satu lagi penggalak ke arah pemulihan yang diperlukannya.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, kedua-dua model itu ditawarkan pada harga berpatutan dengan 300 pembaharuan dilakukan dalam usaha menambah baik model itu.

“Kami melengkapkannya dengan unit stereo pintar (IHU) yang popular, menjadikan Iriz and Persona 2019 sebagai edisi terbaharu dalam rangkaian ‘kereta yang boleh bercakap’ kami.

“Tiada kereta lain dalam segmen sama dan pada kategori harga itu menawarkan fungsi ini. Justeru, kami berbangga merintis teknologi kereta Internet yang bertujuan agar menjadi lebih berpatutan untuk segmen pasaran ini,” katanya pada majlis pelancaran Iriz dan Persona 2019 di sini, semalam.

Harga atas jalan Iriz 2019 ditetapkan antara RM36,700 dan RM50,700 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM38,700 hingga RM52,700 untuk Sabah dan Sarawak.

Syed Faisal berkata, bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely) China, Proton kini berupaya menangani cabaran.

“Selepas bertahun-tahun mewujudkan dan melabur dalam keseluruhan infrastruktur Proton, kami tahu Proton mengalami kekurangan keuntungan dari segi kos untuk mendapatkan semula pelaburan yang telah dibuat.

“Ini, selama bertahun-tahun, telah menjejaskan banyak perkara lain seperti daya saing kos, penawaran kualiti dan teknologi.

“Dalam usaha mengatasinya, kami menyedari bahawa Proton terpaksa berada dalam firma automotif yang lebih besar dan kami memutuskan untuk mencari rakan strategik yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh yang singkat bersama Geely, Proton berupaya mencatatkan begitu banyak pencapaian dengan yang paling tertinggi adalah pelancaran X70.

Syed Faisal berkata, setakat ini, Proton X70 membuat rekod bagi pendaftaran paling banyak dicatatkan oleh kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam tempoh bulan pelancarannya Disember tahun lepas, dengan lebih 25,000 tempatan diterima.

“Setelah X70 berjaya mencatatkan rekod itu, kami tidak meraikan pencapaian itu sebaliknya menarik nafas lega apabila kerja keras dan strategi kami diiktiraf.

“Apabila X70 memenangi Anugerah Pilihan Editor bagi Kereta Terbaik 2018 kategori Kesalinghubungan dan Maklumat Hibur, kami turut tidak meraikannya dengan parti besar selain mengucapkan terima kasih kepada Yang Maha Kuasa bahawa kini adalah peluang sebenar untuk mengembalikan semula kebanggaan pekerja kami,” katanya.

Persona 2019 berharga antara RM42,600 dan RM54,600 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM44,600 hingga RM56,600 untuk Sabah dan Sarawak.

Tersedia bagi varian Premium 1.6 CVT, sistem Iriz dan Persona menggunakan eSIM untuk kekal terhubung dengan Internet.

Sistem ini juga menawarkan aplikasi untuk penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang diakses melalui skrin sentuh tujuh inci yang menampilkan paparan warna penuh dan memori dalaman 16GB.

Bagi kemudahan tambahan, sistem ini menawarkan fungsi skrin ‘mirroring’ dengan telefon pintar Android.

Proton juga menyediakan data Internet lima tahun percuma (12GB/tahun), cukai jalan percuma selama dua tahun untuk 1,000 unit pertama yang berdaftar selain buruh percuma bagi tiga temu janji servis berjadual.

Pembeli kedua-dua model itu juga ditawarkan kadar pembiayaan lebih rendah bermula daripada 2.93 peratus di samping pakej perlindungan insurans yang menarik. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close