Berita UtamaIstimewaUtama

Perdana Menteri ulangi Raja-Raja tak ada kuasa eksekutif

Perlembagaan Negara batal undang-undang Johor, Terengganu

BANGI, 18 Syaaban 1440H, Rabu – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi penegasan beliau bahawa Raja-Raja tidak mempunyai kuasa mutlak, namun kedudukan mereka dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Telah dipersetujui bahawa Malaya akan menjadi negara demokrasi di mana rakyat akan memilih kerajaan. Raja-Raja akan menjadi Ketua Perlembagaan tanpa kuasa eksekutif.

“Kedudukan mereka akan dijamin oleh Perlembagaan yang akan menjadi undang-undang tertinggi negara.

“Adalah penting bahawa semua pihak menghormati Perlembagaan dan mematuhinya. Kegagalan berbuat demikian akan menafikan kedaulatan undang-undang,” katanya, hari ini.

Pada masa sama beliau menegaskan bahawa parti yang memenangi pilihan raya umum (PRU) akan menamakan perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar dan Raja-Raja hendaklah mempersetujuinya.

Dr Mahathir berkata, jika Raja Berperlembagaan menolak untuk mempersetujuinya dan mencadangkan serta menyetujui calon mereka sendiri, parti yang menang pilihan raya boleh menolaknya dalam perhimpunan dewan melalui undi tidak percaya.

“Perlembagaan Johor dan Terengganu yang diisytiharkan sebelum ini dibatalkan oleh Perlembagaan baharu yang diterima oleh semua negeri di Malaysia. Oleh itu pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia mengundi untuk memilih kerajaan (Persekutuan) Malaysia dan kerajaan negeri-negeri,” katanya.

Sebelum ini, konflik Raja Berperlembagaan dan Raja yang mempunyai kuasa mutlak tercetus rentetan daripada beberapa isu, termasuk ratifikasi Statut Rom dan pelantikan menteri besar Johor, di mana Majlis Raja-Raja telah menolak statut yang memboleh penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di negara peserta.

Isu percanggahan antara Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor juga menjadi polemik apabila istana Johor kekal mengatakan Sultan mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar.

Sebelum ini, perdana menteri berkata, parti politik mempunyai kuasa menentukan pentadbiran dan kepemimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk memilih perdana menteri dan menteri besar.

Dr Mahathir berkata, ini kerana parti politik mendapat mandat daripada rakyat untuk mentadbir sesebuah negeri dan negara.

Katanya, jika kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar terletak di bawah raja, maka Malaysia bukan lagi sebuah negara demokratik.

“Walaupun rakyat sudah pilih parti yang berhak untuk melantik menteri besar, tetapi ini dinafikan hak rakyat, maka kita bukan demokrasi, kita sudah jadi kerajaan raja berkuasa mutlak.

“Kalau ini yang sebenarnya, kita boleh adakan perbahasan mengenainya. Sama ada kita menerima sistem pemerintahan yang sedia ada iaitu raja tidak berkuasa, hanya mengambil tindakan atas nasihat perdana menteri di peringkat pusat dan menteri besar di peringkat negeri, atau sistem itu dihapuskan maka kita tidak perlu ada pilihan raya lagi,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close