Berita UtamaUtama

Najib bayar RM300,000 untuk analisis kandungan media Cina

Vital Spire Sdn Bhd terima RM240,000 kendali malaysiandigest.com

KUALA LUMPUR, 18 Syaaban 1440H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat pembayaran sebanyak RM300,000 kepada syarikat Centre of Strategic Engagement Media Sdn Bhd (Cense) bagi menganalisis kandungan media harian berbahasa Cina.

Pengarah dan pengasas Cense, Rita Sim Sai Hoon, yang juga saksi ke-14 pendakwaan, berkata Najib menggunakan khidmat firma penyelidikan itu selama dua bulan iaitu pada Disember 2015 dan Januari 2016.

Beliau berkata, firmanya ketika itu ditugaskan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, manakala pembayaran dibuat melalui akaun Ambank milik Najib.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Rita berkata, syarikatnya menyediakan khidmat kaji selidik mengenai polisi awam dan pemantauan media harian berbahasa Cina untuk Pejabat Perdana Menteri.

Muhammad Saifuddin: Syarikat kamu menjalankan kali selidik dan kerja bagi Pejabat Perdana Menteri (PMO)?

Rita: Ya. Kami membuat khidmat pemantauan media Cina. Kami akan meneliti enam akhbar harian berbahasa Cina dan laman media sosial. Kami memilih fakta dan isu yang memberi kesan kepada komuniti Cina, meringkaskannya dan hantar ke pejabat media PMO.

Enam akhbar harian berbahasa Cina itu ialah Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Oriental Daily, China Press, Quang Ming Daily dan Kwong Wah Jit Poh.

Rita berkata, pertemuan dengan Jamaluddin diadakan di Pejabat Perdana Menteri, namun beliau tidak dapat memastikan jika bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu memegang sebarang jawatan di pejabat berkenaan ketika itu.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada penting bagi mana-mana parti politik seperti Barisan Nasional untuk mengetahui isu berkaitan komuniti Cina dalam memahami ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan, saksi itu menjawab “Ya.”

Muhammad Shafee: Rita, adakah kamu bersetuju dengan saya bahawa adalah penting bagi mana-mana parti politik, seperti BN, untuk memahami isu komuniti Cina jika mereka mahu menangani rasa tidak puas hati kaum Cina terhadap kerajaan?

Rita: Komuniti Cina seharusnya menjadi perhatian semua parti politik, bukan hanya BN. Kerajaan yang memerintah mesti mewujukan dasar (untuk menangani keperluan) komuniti Cina oleh sebab mereka adalah sebahagian daripada komuniti di Malaysia.

Muhammd Shafee: Apakah isunya?

Rita: Kaum Cina mempunyai banyak isu berkaitan pendidikan dan Sijil Peperiksaan Bersama. (Kemudian terdapat) perangkap pendapatan sederhana atau miskin bandar yang melibatkan komuniti Cina. Semua orang menyangkakan orang Cina kaya, tetapi itu tidak benar. Ramai yang berpendapatan di bawah RM5,000. Kemudian isu perumahan dan sebagainya.

Sementara itu, pemilik syarikat Vital Spire Sdn Bhd, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga saksi ke-16 pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa beliau ada menerima pembayaran sebanyak RM240,000 pada 30 Januari 2015 daripada Najib bagi pengendalian portal berita yang kini telah ditutup, malaysiandigest.com.

Beliau berkata, pembayaran itu diterima dalam bentuk cek yang ditandatangani Najib sendiri dalam pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Vital Spire Sdn Bhd adalah syarikat perundingan berkaitan program motivasi dan kepimpinan.

Muhammad Saifuddin: Boleh terangkan laman web ini berkenaan apa?

Onn Hafiz: Laman web ini merupakan portal berita, merangkumi berita tempatan dan antarabangsa, perniagaan, politik, hiburan dan sukan setiap hari.

Muhammad Saifuddin: Apakah tujuan laman web ini?

Onn Hafiz: Untuk menyebarkan berita kepada masyarakat umum.

Muhammad Saifuddin: Arahan untuk membuat portal ini daripada siapa?

Onn Hafiz: Pada masa itu daripada Datuk Seri Najib sendiri.

Bagaimanapun, ketika disoal balas Muhammad Shafee, saksi itu tidak bersetuju bahawa bayaran RM240,000 adalah untuk perniagaan utamanya dalam bidang motivasi dan kepimpinan di Vital Spire.

Muhammad Shafee: Apakah hubungan antara Vital Spire dan Malaysian Digest?

Onn Hafiz: Perbelanjaan yang dilakukan oleh Malaysian Digest dibayar melalui Vital Spire.

Muhammad Shafee: Boleh saya katakan pemilik Malaysian Digest adalah Vital Spire?

Onn Hafiz: Ya

Menjawab soalan siapa yang bertanggungjawab atas kandungan laman web itu, Onn Hafiz berkata, ia diuruskan pasukan seramai 12 orang.

Onn Hafiz berkata, laman web itu bertujuan menyampaikan berita seimbang kepada masyarakat umum, termasuk memerangi berita palsu, bagaimanapun, saksi itu berkata, laman itu telah ditutup sejak Julai 2018.

Sementara itu, saksi ke-17 yang juga bekas Setiausaha Politik Najib, Datuk Wong Nai Chee berkata, beliau menerima cek berjumlah RM238,914 sebagai yuran pentadbiran laman Facebook Ah Jib Gor dan akhbar mingguan Cina pada 12 Februari 2015.

“Bayaran cek itu disalurkan kepada syarikat AD Network yang bertanggungjawab untuk menguruskan pentadbiran laman sosial bekas perdana menteri itu dalam Bahasa Mandarin.

“Bayaran turut dibuat kepada sebuah syarikat media Cina, Akademi Kewartawanan & Informasi Taima (AKIT) untuk penerbitan akhbar Cina, Chinese Weekly bagi membolehkan penyampaian berita tepat kepada masyarakat itu.

“Cek berkenaan dinamakan atas nama pemimpin komuniti Cina, Lim Soon Peng yang diamanahkan untuk membayar kedua-dua pihak tersebut,” katanya.

Wong, yang berkhidmat sebagai setiausaha politik Najib sejak 2011 hingga Mei tahun lalu, berkata beliau mengenali Lim selepas memegang jawatan itu.

“Kami pernah berjumpa untuk membincangkan isu berkaitan politik, aktiviti sosial, keagamaan dan kebajikan masyarakat Cina di negara ini.

“Selain itu, beliau menjadi platform terbaik untuk mendalami keperluan masyarakat Cina tempatan,” katanya pada hari ketujuh perbicaraan kes Najib yang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close