Berita UtamaDuniaIstimewaUtama

‘Terjaga’ selepas 27 tahun

Kecederaan otak menyebabkan Munira tak sedarkan diri

ABU DHABI, 17 Syaaban 1440H, Selasa – Ketika Munira Abdullah mengambil anaknya, Omar Webair, 4 tahun, dari sekolah dan menaiki kereta pulang ke rumah mereka di Al Ain, wanita itu tidak tahu bahawa dia tidak akan melihat anaknya membesar selama 27 tahun.

Kereta mereka terbabit dalam nahas dengan sebuah bas sekolah, menyebabkan wanita berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan trauma pada otak. Omar yang dipeluk oleh Munira sebelum impak kemalangan, hanya luka kecil di kepala.

Munira koma, dan doktor percaya dia tidak akan membuka matanya lagi. Namun, keyakinan itu hanya setakat tahun lalu sahaja apabila dia terjaga di dalam bilik sebuah hospital di Jerman.

Keluarga wanita itu memberitahu The Nation mengenai pengalaman kali pertama mereka, menyifatkan satu keajaiban moden, dan bagaimana wanita itu bangun dalam dunia yang berbeza.

“Saya tidak pernah berputus asa kerana saya mempunyai perasaan bahawa dia akan bangun suatu hari nanti,” kata Omar, 32 tahun.

Munira bagaimanapun tidak dapat menjawab soalan, walaupun dengan sedikit kesusahan, dia membaca beberapa potongan ayat suci al-Quran. Baru-baru ini, dia dibawa melawat Masjid Besar Sheikh Zayed yang belum dibina ketika dia terbabit dalam nahas.

“Saya berusia empat tahun ketika kemalangan berlaku, dan kami terus tinggal di Al Ain. Pada hari kejadian tidak ada bas untuk saya pulang,” kata Omar mengimbas kejadian itu.

Kira-kira jam 4 petang, ibunya datang dengan kereta dipandu abang iparnya. Dalam perjalanan pulang, bas sekolah merempuh kereta mereka.

“Ibu saya duduk di bahagian penumpang belakang. Apabila nampak bas meluru laju, dia memeluk saya untuk menghalang kesan hentakan.

“Tidak ada telefon bimbit, dan tidak dapat menghubungi ambulans untuk bantuan. Dia dibiarkan selama beberapa jam,” kata Omar.

Hanya selepas ketibaan ambulans, Munira kemudian dibawa ke hospital di mana dia dinasihat supaya dipindahkan ke pusat perubatan yang lebih baik di London. Di sana, dia disahkan koma – langsung tidak memberi tindak balas, tetapi boleh merasai kesakitan.

Apabila dibawa pulang ke Al Ain, Munira diletakkan di sebuah hospital di mana dia kekal di situ selama beberapa tahun, diberi makan menerusi tiub. Dia menjalani fisioterapi bagi mengelak ototnya menjadi lemah akibat kurang pergerakan.

Melawat hospital menjadi sebahagian daripada rutin harian Omar. Berjalan hampir empat kilometer setiap hari untuk melihat ibunya. Dia akan duduk bersebelahan ibunya berjam-jam.

“Dia tidak dapat bercakap tapi saya mengerti kesakitan dialaminya melalui ekspresinya. Bagi saya dia bagaikan emas. Masa berlalu dan dia semakin berharga,” katanya.

Pada masa sama, keadaan ibunya menyebabkan Omar sukar untuk kekal dalam pekerjaan. Dia akan mencari masa sesuai untuk bersama ibunya.

“Saya tidak pernah menyesal. Saya percaya disebabkan sokongan saya kepadanya, Tuhan melindungi saya daripada sebarang masalah besar,” kata Omar.

Munira menghabiskan masa bertahun-tahun di hospital Emiriah Arab Bersatu (UAE), dipindahkan dari satu hospital ke satu hospital susulan keperluan syarikat insurans.

Pada April 2017, Mahkamah Putera Mahkota mendengar kisah Munira dan keadaannya. Mereka menawarkan jaminan program komprehensif pelbagai disiplin di Jerman.

“Kami tidak meminta, tetapi ditawarkan kepada kami. Saya berterima kasih kepada Sheikh Mohamed (bin Zayed, Putera Mahkota Abu Dhabi) untuk itu. Secara umumnya, pemimpin kami selalu memberi sokongan dalam kebanyakan situasi dan kami berterima kasih,” kata Omar lagi.

Di Jerman, Munira menjalani beberapa pembedahan. Doktor di Schön Clinic Bad Aibling, 50 kilometer dari Munich, memberi keutamaan kepada terapi secara fizikal, dan merawat penyakit saraf yang menyebabkan dia tidak sedar sedangkan anggotanya bergerak menyentak-nyentak.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyedarkannya sedikit demi sedikit dan peluang untuk badannya sihat. Sama seperti tumbuh-tumbuhan kecil memerlukan tanah yang subur untuk membesar,” kata Dr Ahmad Ryll, pakar neorologi yang juga doktor peribadi Munira di Jerman.

Munira diberi ubat meningkatkan keupayaannya untuk sedar dan cara tidur. Terapi itu seolah-olah memperbaiki keadaan kesihatannya dan dia kelihatannya mula menyedari secara sedar kehadiran Omar dan doktor.

“Saya beritahu doktor bahawa saya menunggunya untuk bercakap semula. Mereka kata anda hanya berimaginasi. Kami hanya melakukan pemulihan untuk meningkatkan kualiti hidupnya,” kata Omar.

Kira-kira setahun kemudian iaitu pada Jun 2018, minggu terakhir Munira menjalani rawatan di Jerman, sesuatu yang di luar dugaan berlaku.

“Terdapat salah faham dalam bilik hospital, dan dia merasakan saya berdepan risiko yang menyebabkan dia mengalami kejutan,” kata Omar yang menceritakan bagaimana dia terbabit dalam pertengkaran di dalam bilik itu, dan tiba-tiba ibunya bersuara dan mula meracau.

Munira mula mengeluarkan bunyi asing dan Omar terus memanggil doktor, namun mereka hanya berkata ia adalah perkara normal.

“Tiga hari kemudian saya terjaga apabila terdengar suara memanggil nama saya. Dia yang memanggil. Dia terus memanggil nama saya. Saya terlalu gembira. Sejak bertahun saya rindukan saat itu dan nama saya adalah yang pertama disebutnya,” katanya.

Munira mula menyebut nama adik beradiknya dan sesiapa sahaja yang dia sangka berada di sekelilingnya serta menjerit seperti ketika kemalangan dahulu dan kemudian tersedar.

Sejak itu Munira semakin memberi tindakan balas yang baik.

“Sekarang dia boleh memberitahu di mana kesakitan dialaminya, dan saya boleh berkomunikasi dengannya jika dia berminat dalam sesuatu hal. Kadang kala dia mengejutkan saya untuk membaca doa bersamanya,” kata Omar.

Munira kemudian kembali ke Abu Dhabi bersama keluarganya, tetapi terus mendapatkan rawatan fisioterapi serta pemulihan di hospital. Omar kadang-kadang membawa ibunya ke masjid besar menggunakan kerusi roda.

Laporan perubatan dikeluarkan Hospital Maftar bulan lalu menyatakan Munira kini boleh berkomunikasi dengan diri sendiri dan persekitaran dalam hal-hal munasabah.

Bagaimanapun, laporan menyebut bahawa dia perlu menjalani fisioterapi secara berterusan untuk memperbaiki cara duduk, serta menghalang otot lain memberi kesan sampingan.

“Alasan saya berkongsi kisahnya ialah untuk memberitahu orang ramai supaya tidak putus asa terhadap orang yang disayangi; Jangan anggap mereka telah mati jika alami keadaan seperti ini.

“Bertahun doktor memberitahu saya bahawa kes ini tidak boleh diatasi, dan tidak ada ertinya melakukan rawatan, tetapi saya tidak ragu-ragu untuk memulihkan keadaannya,” kata Omar. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close